TINDAKAN SEGERA: MINTA NEGARA CHINA UNTUK LEPASKAN SARJANA PHD UYGHUR

Guligeina Tashimaimaiti, seorang mahasiswa PhD di Universiti Teknologi Malaysia, tidak lagi dapat dihubungi sejak 26 Disember 2017, ketika dia pulang ke kampung halamannya di Yili, Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang.

Keluarganya bimbang beliau telah ditahan di kem pendidikan semula di China dan berisiko mengalami penyeksaan dan lain-lain perlakuan buruk.

Dia terakhir dilihat oleh rakannya Sammy (nama diubah untuk melindungi identiti) di Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia Senai pada 26 Disember 2017.Kedua-dua mereka telah sepakat bahawa Guligeina Tashimaimaiti akan menukar fotonya pada aplikasi WeChat, sebuah platform media sosial China yang terkenal, setiap minggu sebagai tanda bahawa beliau dalam keadaan selamat.

Guligeina Tashimaimaiti sempat menukar foto profilnya seminggu selepas pulang ke Yili, Wilayah Autonomi Uyghur Xinjiang (XUAR). Walau bagaimanapun, gambar profil beliau kekal sama setelah beberapa minggu, sehingga suatu hari gambar latar belakangnya tiba-tiba berubah menjadi gambar hitam dan putih yang gelap dan muram, yang kelihatan seperti bahagian dalam sel penjara.

Memandangkan tindakan kekerasan yang belum pernah terjadi sebelum ini dan pada saat ini sedang berlaku di XUAR terhadap kaum Uyghur dan etnik minoriti lain, Sammy dan Gulzire, kakak Guligeina Tashimaimaiti, berpendapat bahawa ada kemungkinan beliau sedang ditahan di kem pendidikan semula.Walaupun telah diberi peringatan oleh rakan-rakan dan keluarganya untuk tidak kembali ke rantau ini, Guligeina Tashimaimaiti tetap pulang dengan alasan bimbang kerana ibu bapanya tidak dapat dihubungi sejak lawatan terakhirnya ke Yili pada Februari 2017.

Guligeina Tashimaimaiti telah dijadualkan untuk memulakan pengajian PhD pada Februari 2018. Selepas tidak mendengar khabar dari beliau selama beberapa bulan, Gulzire dan Sammy memutuskan untuk menghubungi universiti di Malaysia dan para media untuk mengetengahkan kes ini.

Sila tulis dengan segera dalam Bahasa Cina, Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris atau bahasa anda sendiri untuk menggesa pihak berkuasa agar:

  • Melepaskan Guligeina Tashimaimaiti dan membatalkan sebarang tuduhan terhadapnya melainkan ada bukti yang sahih dan boleh dipercayai bahawa beliau telah melakukan kesalahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan diberikan perbicaraan yang adil selaras dengan piawai antarabangsa;
  • Memastikan Guligeina Tashimaimaiti mempunyai akses tanpa had secara tetap kepada peguam pilihan beliau dan keluarga beliau dan tidak dikenakan penyeksaan atau perlakuan buruk lain; 
  • Memastikan semua orang di XUAR dapat berkomunikasi dengan ahli keluarga dan orang lain, termasuk ahli keluarga yang tinggal di negara lain, tanpa campur tangan selain yang benar-benar beralasan seperti yang termaktub dalam undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

AMBIL TINDAKAN DISINI

TANDATANGANI PETISYEN INI YANG DITUJUKAN KEPADA SETIAUSAHA PIHAK KETUA WILAYAH AUTONOMOUS XINJIANG UYGHUR, DAN MENTERI KESELAMATAN AWAM CHINA.

SILA HANTAR PETISYEN SEBELUM 30 JUN 2019

Semua maklumat dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010