Ratusan Rohingya mencari kehidupan selamat dengan bot berisiko tinggi dijangkiti virus corona

Pihak berkuasa Malaysia perlu memastikan 202 orang Rohingya yang diselamatkan di pinggir pantai negara ini terhindar dari risiko jangkitan besar-besaran di pusat tahanan, kata Amnesty International Malaysia hari ini. Kumpulan tersebut kini dalam karantina 14 hari sebagai tindak balas terhadap wabak COVID-19.

“Kerajaan perlu memastikan perlindungan yang mencukupi bagi orang Rohingya ini yang sangat terdesak dan memerlukan perlindungan dari penganiayaan dan penyakit,” kata Preethi Bhardwaj, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia.

“Memandangkan tahap risiko penularan wabak di pusat penahanan adalah tinggi, mereka harus dibebaskan setelah cukup tempoh karantina, dan diberikan perlindungan berdasarkan undang-undang antarabangsa. Menahan lebih banyak orang pada masa ini akan hanya membahayakan kesihatan mereka dan ramai lagi nyawa yang tidak terhitung jumlahnya. Ini juga akan memberikan tekanan kepada krisis semasa yang perlu ditangani.”

Pada 5 April 2020, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memintas bot yang membawa lebih 200 orang Rohingya, termasuk kanak-kanak, di luar pesisir Langkawi. Pihak berkuasa Malaysia menyatakan bahawa juragan bot tersebut yang dipercayai menjalankan operasi pemerdagangan manusia, telah melarikan diri ketika berada di laut.

Amnesty International Malaysia memahami bahawa kumpulan itu kini berada dalam karantina selama 14 hari, sedang diuji dan disaring untuk COVID-19, dan mungkin dipindahkan dari sana ke pusat tahanan imigresen. Pelarian Rohingya di Malaysia sering menghadapi penahanan tanpa had di pusat tahanan seperti ini.

Kajian terdahulu oleh Amnesty International mendapati keadaan di pusat tahanan imigresen di Malaysia sama dengan perlakuan kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjengkelkan. Tahanan menderita kerana kesesakan, kekurangan air dan makanan, dan keadaan yang tidak bersih.

“Pihak berkuasa harus memastikan bahawa mereka yang telah mengalami trauma ini, diberikan ruang yang cukup untuk mengamalkan penjarakan sosial, air yang mencukupi, sanitasi yang baik, dan akses kepada barangan keperluan kebersihan dan kesihatan, baik semasa dalam tempoh karantina dan juga sesudahnya,” tegas Preethi Bhardwaj.

“Kami juga menggesa kerajaan mengambil langkah melindungi mereka yang sudah berada dalam tahanan imigresen, termasuk pembebasan tahanan untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19, serta langkah-langkah lain untuk meredakan kesesakan di pusat tahanan dan memastikan tahanan diberikan hak mereka untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang diperlukan.”

Latar belakang

Pelanggaran hak asasi manusia terus berlaku terhadap kira-kira 600,000 orang Rohingya yang masih tinggal di Wilayah Rakhine. Setelah lebih tujuh tahun selepas mereka dipaksa meninggalkan tempat tinggal mereka, ratusan ribu orang – kebanyakannya Rohingya – terus terkurung di kem tahanan yang menjelikkan di Wilayah Rakhine, dan di negara jiran Bangladesh, bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk kelangsungan hidup mereka.

Tahun demi tahun, bot yang membawa ribuan orang yang melarikan diri dari Rakhine dan Bangladesh untuk mencari perlindungan di Asia Tenggara ditemui di laut. Undang-undang antarabangsa mengenakan kewajiban kepada setiap negara untuk melindungi hak asasi manusia pelarian yang tiba di pesisir mereka.

Prinsip non-refoulement mewajibkan negara-negara untuk tidak mengembalikan siapa pun ke wilayah di mana mereka akan menghadapi risiko penganiayaan atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Prinsipnya adalah tonggak perlindungan pelarian antarabangsa dan merupakan asas kepada larangan penyeksaan dan perlakuan atau hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.

Malaysia tidak menjadi ahli Konvensyen PBB 1951 (Konvensyen Pelarian) yang berkaitan dengan status pelarian, mahupun Protokol 1967. Biarpun demikian, prinsip non-refoulement dilindungi di bawah undang-undang lazim antarabangsa yang mempertanggungjawabkan semua negara. Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN merangkumi hak untuk “mencari dan menerima suaka.”