TINDAKAN SEGERA: AHLI KESATUAN MENUNTUT PPE DIDAKWA

Pada 2 Jun 2020, polis Malaysia menyuraikan suatu piket secara aman yang diadakan terhadap sebuah syarikat perkhidmatan pembersihan hospital. Antara aduan “pekerja” termasuklah dakwaan perlakuan tidak adil terhadap anggota kesatuan oleh syarikat, dan peralatan perlindungan diri yang tidak mencukupi untuk pekerja.

Polis menangkap, menahan dan mendakwa lima  orang aktivis atas alasan “berhimpun tanpa izin”, yang mana ini melanggar hak asasi dan kebebasan mereka untuk berpersatuan dan berhimpun.

Kami meminta Peguam Negara untuk menggugurkan kesemua tuduhan terhadap mereka. Piket adalah komponen penting dari hak untuk berpersatuan dan tidak ada yang patut dihukum hanya kerana berhimpun secara aman.

TULISKAN RAYUAN DALAM PERKATAAN ANDA SENDIRI ATAU GUNAKAN SURAT CONTOH INI

© Veshalini Naidu untuk Amnesty International Malaysia

Email [email protected] dan [email protected] gunakan surat contoh ini:

Tan Sri Dato’ Sri Idrus Harun yang dihormati,

Saya menulis untuk menggugurkan kesemua tuduhan terhadap lima orang aktivis yang berkenaan – M. Sarasvathy, L. Danaletchumy V. Santhiran, P. Jothi, dan C Subramaniam Raja – yang mengambil bahagian dalam piket secara aman pada 2 Jun 2020 terhadap dakwaan penganiayaan pekerja pembersihan oleh sebuah sub-kontraktor. Dakwaan penganiayaan mereka termasuk: bekalan peralatan perlindungan terhadap COVID-19 yang tidak mencukupi, intimidasi terhadap pekerja yang aktif dalam kesatuan, pembatalan Perjanjian Kolektif yang diterima oleh sub-kontraktor sebelumnya, dan kekurangan kenaikan gaji tahunan dan cuti berbayar atau cuti sakit – oleh syarikat yang dikontrak untuk perkhidmatan pembersihan hospital. Syarikat tersebut telah menafikan tuduhan.

Piket adalah komponen penting dari hak untuk berpersatuan dan berhimpun seperti yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa; sekatan terhadap hak-hak ini semasa darurat kesihatan mesti selaras dengan apa yang diperlukan dan seimbang dengan tujuan dalam menangani darurat. Piket yang dirujukkan ini terdiri kurang daripada 20 orang, dan semua peserta telah mengamalkan jarak sosial, memakai pelitup muka dan memeriksa suhu badan. Walaubagaimanapun, aktivis-aktivis  tersebut ditangkap, direman semalaman, dan dirantai semasa di mahkamah di mana ia merupakan suatu perlakuan tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah yang mungkin menyiksa. Para aktivis juga mendakwa bahawa mereka telah dianiayai semasa penangkapan dan di lokap, didera secara lisan daripada pegawai-pegawai polis, dipaksa untuk menukar baju kepada pakaian lokap semasa pintu terbuka, dan tidak diberi air untuk ubat-ubatan mereka.

Sekarang, mereka menghadapi denda sehingga RM1,000 (USD 234) setiap seorang atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, kerana didakwa melanggar Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020. Pada 18 September, mahkamah akan membuat keputusan sama ada tuduhan digugurkan atau diteruskan. Pendakwaan tersebut juga dikenakan denda yang boleh mempengaruhi kumpulan tersebut secara tidak seimbang, terutamanya kerana mereka juga memprotes dibayar gaji yang rendah oleh pihak syarikat.

Krisis COVID-19 tidak patut digunakan sebagai alasan untuk menyekat hak-hak kebesan berhimpun dan berpersatuan secara tidak perlu dan tidak seimbang. Mereka yang berada di barisan hadapan pandemik ini tidak seharusnya dihukum kerana meminta kondisi kerja yang lebih baik.

Oleh yang demikian, saya meminta pejabat Tan Sri  untuk:

 Menggugurkan kesemua tuduhan ke atas lima-lima ahli kesatuan tersebut kerana ia sama ada bertentangan dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa atau membawa hukuman yang tidak setimpal dan akan menjejaskan kumpulan ini secara tidak seimbang;

Menyiasat tuduhan terhadap syarikat yang berkenaan dan memastikan bahawa semua undang-undang buruh dipatuhi dan dikuatkuasakan.

Terima kasih atas perhatian Tan Sri.

Yang ikhlas,


MAKLUMAT TAMBAHAN

Pekerja pembersihan hospital di Malaysia adalah pekerja kontrak, yang disewa oleh syarikat swasta yang telah disubkontrak oleh syarikat konsesi yang diberi kontrak kerajaan untuk perkhidmatan sokongan hospital. Sebagai pekerja kontrak, pekerja pembersihan ini sering dibayar gaji bulann minimum sebanyak RM1,200 (USD 280), dan tidak menerima kenaikan gaji tahunan atau apa-apa faedah lain termasuk kontrak tetap, cuti umum berbayar 15 hari, cuti tahunan, bonus, dan pampasan sekiranya berlaku pemberhentian.

Pada tahun 2016, Kesatuan Nasional Untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS) dihidupkan semula oleh sekumpulan pembersih hospital di wilayah utara untuk merundingkan perjanjian kolektif dengan sebanyak 43 tuntutan termasuk peningkatan gaji permulaan dan kenaikan tahunan. NUWHSAS melaporkan bahawa mereka merundingkan perjanjian kolektif baru sebanyak 38 tuntutan pada bulan Oktober 2019 yang menetapkan terma dan syarat kontrak pekerja pembersihan. Sebelum perjanjian itu berkuatkuasa pada Januari 2020, subkontrak tersebut telah dijual kepada sebuah syarikat lain – sebuah anak syarikat awam yang disenaraikan dan berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh dana kekayaan berdaulat Malaysia. Menurut laporan media, syarikat itu sekarang enggan mengiktiraf kesatuan tersebut, malah perjanjian kolektif turut dibatalkan. Syarikat itu tidak mengesahkan atau menafikan bahawa ia enggan mengiktiraf kesatuan tersebut, tetapi menyatakan bahawa tuntutan penghapusan kesatuan adalah subjek kes pertikaian perdagangan yang belum selesai di bawah Akta Perhubungan Perusahaan Seksyen 18 yang mana prosiding mahkamah ditangguhkan kerana wabak COVID-19.

Menurut NUWHSAS, semasa bermulanya wabak COVID-19, pekerja pembersihan tidak mempunyai akses kepada peralatan perlindungan diri yang mencukupi ketika membersihkan wad dan kemudahan COVID-19yang mana ini mendedahkan mereka kepada bahaya jangkitan. Walaupun situasi bekalan PPE telah bertambah baik di kebanyakan hospital, pihak kesatuan menuduh Edgenta UEMS secara khusus menyasarkan pekerja pembersihan yang aktif dalam kesatuan dengan:

  • Mengubah waktu bekerja dan syif pekerja yang aktif dalam kesatuan;
  • Dengan sewenang-wenangnya memindahkan anggota kesatuan ke hospital yang jauh dari tempat tinggal mereka;
  • Melarang perbincangan berkaitan kesatuan antara jawatankuasa pekerja dengan pekerja, walaupun pada waktu rehat;
  • Melarang ahli kesatuan bekerja lebih masa untuk meningkatkan pendapatan mereka;
  • Menakut-nakutkan dan mengancam anggota kesatuan dengan tindakan tatatertib.

Pada 3 Jun, syarikat tersebut telah mengeluarkan kenyataan menafikan tuduhan yang dikemukakan oleh kesatuan itu, termasuk perubahan waktu dan syif yang disengajakan, pemindahan sewenang-wenangnya ke hospital, melarang aktiviti kesatuan, gangguan verbal, tidak diberikan PPE, dan ketiadaan kenaikan gaji dan cuti berbayar. Perwakilan undang-undang kesatuan tetap berpegang kepada tuduhan asal mereka.

Dalam surat kepada Amnesty International Malaysia pada 19 Jun, UEM Edgenta sekali lagi menolak tuduhan tersebut. Mereka juga menyatakan bahawa mereka telah mengambil beberapa tindakan sejak kejadian itu. Ini termasuk membentuk pasukan petugas dalaman untuk mengkaji semula dakwaan kesatuan; jerayawara di beberapa hospital terpilih di Semenanjung Utara Malaysia yang merangkumi audit PPE dan sesi keterlibatan dengan pekerja perkhidmatan sokongan kesihatan; dan pengembangan PrihatinLine, suatu saluran dalam talian untuk pekerja HSS berkongsi maklum balas dan permasalahan dengan pihak pengurusan atasan dan pasukan petugas baru. Sebelum kejadian ini, pada 26 Mac 2020, kesatuan menyatakan bahawa pekerja di Hospital Teluk Intan dilarang oleh syarikat yang sama daripada menjalani ujian saringan COVID-19 — biarpun 39 kakitangan kesihatan di hospital tersebut telah didapati positif. Kesatuan itu mendakwa bahawa alasan syarikat untuk tidak membenarkan mereka menjalani ujian saringan adalah kerana tidak ada penggantian pekerja pembersihan jika mereka diminta untuk pergi cuti setelah menjalani saringan3. Pada 27 Mac, Kementerian Kesihatan memerintahkan semua pekerja di hospital tersebut menjalani ujian saringan COVID-19.