TINDAKAN SOLIDARITI MYANMAR – CANDLELIGHT VIGIL

Ringkasan Tindakan

Sabtu ini, 27hb Mac 2021 dari 8-9PM, Amnesty International Malaysia menjemput orang ramai untuk bersama-sama dengan suara sedunia yang semakin meningkat untuk bersolidariti dengan rakyat Myanmar dan penentangan mereka. Anda boleh menganjurkan candlelight vigil di rumah atau di luar bersama ahli keluarga dan rakan anda dengan mematuhi garispanduan COVID-19. Tindakan serupa akan dijalankan di beberapa negara.

Latar belakang

Tentera Myanmar telah merampas kuasa pada 1hb Februari 2021. Lebih sebulan sejak itu, keganasan dan penindasan telah meningkat dengan ketara terhadap warga Myanmar.

Sehingga 23hb Mac, sekurang-kurangnya 2,812 individu telah ditahan, didakwa atau dijatuhkan hukuman, dengan 2,418 masih ditahan. Pasukan keselamatan makin menggunakan taktik dan senjata yang biasanya dipakai di medan perang secara terancang terhadap penunjuk perasaan yang aman dan juga penduduk yang tidak terlibat. Peluru biasa, peluru getah, meriam air, gas pemedih mata, alat “flash bang” dan katapel digunakan terhadap perhimpunan aman. Sebuah NGO tempatan, AAPP Burma, menganggarkan 275 orang terbunuh sehingga 23hb Mac.

27hb Mac 2021 merupakan ‘Hari Angkatan Tentera Myanmar’ (Myanmar Armed Forces Day) yang asalnya dikenali sebagai ‘Hari Penentangan’ (Resistance Day) kerana orang ramai dari pelbagai pihak dan pelbagai lapisan masyarakat terlibat dalam penentangan terhadap penjajah Jepun pada tahun 1945. Hari ini kemudian diubah menjadi Hari Angkatan Tentera Myanmar  supaya pasukan tentera diberi penghargaan sepenuhnya atas usaha orang ramai.

Candlelight vigil pada hari ini bertujuan untuk bersolidariti dengan rakyat Myanmar yang kini menuntut kembali makna tarikh ini dari pihak tentera dan juga untuk menyokong semangat penentangan mereka yang kuat. Kami akan menyalakan lilin untuk memperingati mereka yang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar, dan mendesak tindakan segera untuk menghentikan pembunuhan berleluasa di Myanmar oleh tentera yang kini sedang meningkatkan penindasan yang ganas terhadap orang awam yang tidak bersenjata.

Di Malaysia, kami juga ingin menarik perhatian terhadap lebih 100,000 pelarian dan pencari suaka berasal Myanmar yang berada di Malaysia yang mencari keselamatan diri namun menghadapi diskriminasi, penahanan dan penindasan. Walaupun kerajaan Malaysia telah keluarkan kenyataan yang tegas terhadap rampasan kuasa tentera ini, ia masih mengusir seramai 1,086 warga Myanmar kepada tentera Myanmar—termasuk kanak-kanak dan pemegang dokumen UNHCR. Sambil kami bersolidariti dengan rakyat Myanmar yang menuntut demokrasi dan keadilan, kami juga menarik perhatian kepada tanggungjawab Malaysia untuk melindungi rakyat Myanmar yang menghadapi penindasan di dalam negara kita sendiri.

Apa yang perlu dilakukan / Cara melakukannya:

1. Tindakan solidariti candlelight vigil di rumah

Sila ambil dan hantarkan gambar diri anda memegang lilin menyala di media sosial, dan gunakan contoh pesanan dan hashtag di bawah. Anda juga boleh tweet atau menghantar mesej solidariti di media sosial tanpa gambar.

2. Tindakan solidariti candlelight vigil di luar

Dari 8 PM-9PM pada hari Sabtu 27hb Mac, sila anjurkan candlelight vigil yang mematuhi garispanduan COVID-19. Anda boleh memegang lilin yang menyala atau meletakkannya di lantai untuk membentuk simbol atau frasa. Anda juga boleh menyiapkan atau memegang plakat, seni, atau gambar untuk menunjukkan solidariti.

Anda boleh melibatkan aktiviti seperti pengucapan doa, menyanyikan lagu-lagu penentangan, atau bertafakur untuk mereka yang telah dibunuh, dan/atau melantunkan beberapa slogan, atau menulis mesej solidariti pada sepanduk, kad atau menulis surat agar kerajaan mereka mengambil tindakan.

Sila tangkap video dan gambar aktiviti anda dan hantar ke media sosial menggunakan hashtag yang dicadangkan.

Bila:

Sabtu, 27 Mac 2021 dari 8PM – 9PM

Hashtag media sosial:

  • #MyanmarSolidarity
  • #WhatsHappeninginMyanmar
  • #SolidaritiBersamaRakyatMyanmar

Mesej yang dicadangkan:

  • Menunjukkan solidariti dengan rakyat Myanmar yang berkabung atas kematian penunjuk perasaan yang aman
  • Mengecam keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia terhadap penunjuk perasaan yang aman
  • Menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan segera untuk menghentikan penindasan dan menghukum pihak yang bertanggungjawab
  • Menyeru supaya penindasan terhadap warga Myanmar di Malaysia dihentikan

Berikut adalah cadangan gambar yang anda gunakan:

http://bit.ly/myanmarplacards

Contoh formasi cahaya lilin:

Tulisan “Kami Mahukan Keadilan”
Tulisan dan Peta Myanmar
Tulisan Solidariti

Langkah Keselamatan

  • Patuhi garispanduan COVID-19: imbas MySejahtera (jika ada), pakai topeng muka, amalkan penjarakkan sosial dengan jarak minimum 1 meter sepanjang semua aktiviti
  • Untuk tindakan di luar: Sila semak lokasi sebelum berkumpul
  • Perhimpunan kecil 5-12 orang
  • Untuk tindakan dari rumah: Patuhi had kapasiti 50%

Sumber