MALAYSIA: Keadaan Hak Asasi Manusia Sedunia 2021/22

Laporan Amnesty International 2021/22: Keadaan Hak Asasi Manusia Sedunia

MALAYSIA

Ketua Negara: Sultan Abdullah

Ketua Kerajaan: Ismail Sabri Yaakob (mengganti Muhyiddin Yassin bulan Ogos)

Beberapa pembela hak asasi manusia, wartawan, pemimpin pembangkang, dan orang lain disiasat, ditahan dan didakwa kerana mengkritik kerajaan. Kerajaan menggunakan langkah pengawalan Covid-19 untuk menyekatkan hak kebebasan bersuara dan berhimpun. Walaupun kematian dalam tahanan dilaporkan, tiada pihak yang dipertanggungjawabkan. Serbuan imigresen, penahanan dan penganiayaan terhadap pelarian, pencari suaka, dan pekerja migran berterusan. Orang LGBTI menghadapi peningkatan diskriminasi.

LATAR BELAKANG

Pengendalian pandemik Covid-19 oleh kerajaan mengakibatkan protes awam dan ketidakstabilan politik. Darurat diisytiharkan dari Januari hingga 1 Ogos 2021 untuk membendung penularan wabak. Pada masa ini, parlimen negara dan dewan undangan negeri telah digantungkan. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada 16 Ogos selepas hilang sokongan majoriti. Penggantinya, Ismail Sabri Yaakob, mengangkat sumpah seminggu kemudian.

KEBEBASAN BERSUARA

Pada bulan Februari, saluran berita Malaysiakini didenda RM500,000 atas kesalahan menghina mahkamah disebabkan komen-komen yang disiarkan oleh pembacanya yang mengkritikkan penghakiman mahkamah. Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan Akta Hasutan digunakan untuk mengkriminalisasikan suara-suara penentang. Pada bulan Mac, kerajaan menggubal ordinan untuk memerangi “berita palsu” berkaitan dengan Covid-19. Ordinan ini tamat tempohnya apabila darurat ditamatkan pada bulan Ogos.

Aktivis, wartawan, dan orang lain menghadapi siasatan, pendakwaan, dan gangguan kerana mengkritikkan pihak berkuasa. Pada bulan Julai, aktivis hak pelarian Heidy Quah didakwa di bawah AKM atas komen yang disiarkan olehnya di media sosial pada tahun 2020 berkenaan keadaan buruk di dalam pusat tahanan imigresen.

Pada bulan Julai, polis menyerbu pejabat penerbit filem animasi mengenai keganasan polis. Pada 29 Julai, aktivis pelajar Sarah Irdina Arif ditahan di bawah Akta Hasutan dan disoal siasat atas paparan dalam media sosial yang menyokong “Lawan”, gerakan yang membantah pengendalian Covid-19 oleh kerajaan.

KEBEBASAN BERHIMPUN

Akta Perhimpunan Aman (APA) dan undang-undang kawalan Covid-19 digunakan untuk mencegah dan menyuraikan protes aman. Pada bulan Mac, polis menyoal siasat beberapa aktivis yang terlibat dalam demonstrasi menyokong umur mengundi diturunkan kepada 18. Pada bulan Mei, aktivis-aktivis yang mendesak parlimen bersidang semula disiasat di bawah APA. Pada bulan Julai, polis mengancam untuk menangkap doktor-doktor di satu pusat perubatan yang mengambil bahagian dalam hartal selama sejam di seluruh negara mendesak jaminan pekerjaan yang lebih baik. Tindakan hartal tersebut dibatalkan.

Dalam minggu-minggu sebelum peletakan jawatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, tindakan menyekat hak berhimpun secara aman telah meiningkat. Puluhan orang telah disiasat berhubung dengan protes “Lawan” di ibu negara, Kuala Lumpur, pada 31 Julai. Ramai juga melaporkan gangguan daripada pihak berkuasa di rumah mereka.

Pada 2 Ogos polis rusuhan menghalang 107 ahli parlimen pembangkang (MP) daripada memasuki bangunan parlimen yang telah ditutup selepas kerajaan berkata kes Covid-19 telah dikesan. Polis memanggil ahli-ahli Parlimen yang terlibat dalam protes untuk disoal siasat dan mendendakan mereka kerana melanggar undang-undang kawalan Covid-19.

Pada 19 Ogos, polis menyuraikan perhimpunan kecil “Lawan” untuk mangsa-mangsa Covid-19 dan seterusnya menangkap dan mendendakan 13 orang kerana melanggar undang-undang kawalan Covid-19. Dua peserta didakwa di bawah Akta Polis kerana berkelakuan “cara yang merusuh, menghina, atau tidak senonoh.” Penganjur membatalkan protes “Lawan” berikutnya. Walau bagaimanapun, polis memperolehi perintah mahkamah yang melarangkan 34 aktivis daripada memasuki Kuala Lumpur dan juga telah menutup beberapa jalan yang menuju ke bandar.

HAK PELARIAN DAN MIGRAN

Layanan keras terhadap pelarian, pencari suaka dan pekerja migran diteruskan dengan serbuan imigresen, penangkapan, penahanan dan deportasi ke negara-negara di mana mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami pelanggaran hak asasi manusia. Pada bulan Februari, kerajaan mengabaikan perintah mahkamah dan menghantar pulang 1,086 migran dan pencari suaka ke Myanmar walaupun terdapat peningkatan keganasan dan ancaman penganiayaan di sana berikutan rampasan kuasa oleh tentera Myanmar.

Pada bulan Jun, beratus-ratus orang ditahan dalam serbuan-serbuan yang dilaksanakan di kawasan yang mempunyai jumlah pendatang tanpa dokumen yang tinggi. Keadaan depot tahanan imigresen yang sesak meletakkan mereka yang ditahan dalam risiko yang tinggi untuk dijangkiti Covid-19. Kerajaan juga menyebarkan poster anti-Rohingya dan mesej anti-migran lain dalam talian.

Pada bulan Mei, kerajaan Kanada mengumumkan bahawa ia sedang menyiasat dakwaan buruh paksa di ladang-ladang kelapa sawit dan kilang-kilang sarung tangan di Malaysia.

LAYANAN KEJAM, TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN, ATAU MERENDAHKAN

Sekurang-kurangnya 19 orang mati dalam tahanan polis atau sejurus selepas dibebaskan. Seorang lelaki berusia 40 tahun meninggal dunia pada April selepas dimasukkan ke hospital selepas dibebaskan daripada tahanan polis pada bulan sebelumnya. Menurut laporan media, bedah siasat mendapati kematian A Ganapathy adalah disebabkan oleh kecederaan yang dialami semasa dalam tahanan polis. Kerajaan mendakwa bahawa siasatan sedang dijalankan, tetapi tiada pihak yang didakwa. Menurut maklumat kerajaan, 105 orang mati dalam tahanan polis, penjara dan pusat tahanan imigresen antara Januari 2020 dan September 2021.

HAK RAKYAT LGBTI

Penganiayaan terhadap orang dan aktivis LGBTI berterusan. Pada bulan Januari, kerajaan berkata ia sedang mempertimbangkan peningkatan hukuman untuk “kesalahan” oleh orang LGBTI. Pada bulan Jun, “pasukan petugas anti-LGBTI” kerajaan memberi amaran tentang tindakan terhadap mereka yang “mempromosikan gaya hidup LGBTI.” Sehingga Jun, 1,733 individu telah dihantar ke kem “pemulihan” kerajaan yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan tujuan untuk mengubah “gaya hidup” dan “orientasi seksual” golongan LGBTI. Pada bulan Oktober, Nur Sajat, seorang wanita transgender, berjaya menuntut suaka di Australia. Dia mendakwa bahawa dia diserang secara seksual semasa dalam tahanan polis pada bulan Januari.

HAK ORANG ASLI

Orang Asli di negeri Kelantan membantah rancangan untuk membina empangan, dengan pemimpin masyarakat mendakwa bahawa mereka tidak dimaklumkan pada awalnya, tidak diberi maklumat yang menyeluruh, dan tidak memberi persetujuan secara bebas. Pada bulan Julai, masyarakat Orang Asli memfailkan semakan kehakiman terhadap kerajaan negeri Selangor untuk mencabar notis pengusiran mereka dari tanah mereka untuk memberi laluan kepada projek pelancongan.

HUKUMAN MATI

Walaupun moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati masih diteruskan, progres ke arah pemansuhan hukuman mati terhenti. Hukuman mati mandatori terus dikenakan, termasuk untuk kesalahan berkaitan dadah.