Amnesty International Malaysia menyeru agar reformasi hukuman mati di Malaysia diteruskan dan mengecam Singapura atas Hukuman Mati yang Dilaksanakan untuk Kesalahan Berkaitan Dadah pada Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia 

Siaran Media Lanjutan

10 Oktober 2024 

Pada 10 Oktober 2024, bersempena dengan Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia, Amnesty International Malaysia memberi tumpuan kepada Malaysia, Singapura dan negara-negara jiran lain yang terus menggunakan hukuman mati—hukuman paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah— untuk kesalahan berkaitan dadah. 

Malaysia dan Singapura kini adalah antara hanya 11 negara di dunia yang diketahui telah menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah pada tahun 2023. 

“Malaysia mencapai kemajuan ketara ke arah pemansuhan hukuman mati sepanjang tahun lalu, dan telah meringankan lebih 835 hukuman mati sejak proses semakan bermula di peringkat Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, pemansuhan hukuman mati, terutamanya bagi kesalahan berkaitan dadah, tidak boleh ditangguhkan lagi,” kata Qistina Johari, Pegawai Kempen Hak Asasi Manusia di Amnesty International Malaysia. 

“Penggunaan hukuman ini untuk kesalahan berkaitan dadah telah sekian lama dianggap menyalahi undang-undang dan standard hak asasi manusia antarabangsa. Memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah adalah langkah kritikal yang perlu diambil oleh Malaysia dengan segera ke arah pemansuhan sepenuhnya,” kata Qistina. 

Singapura bukan sahaja mengekalkan hukuman mati mandatori tetapi juga melaksanakan hukuman mati pada kadar yang membimbangkan, walaupun dikecam keras oleh komuniti antarabangsa. Singapura merupakan satu daripada hanya lima negara di mana hukuman mati berkaitan dadah dilaksanakan pada tahun 2023,  seperti yang disahkan oleh Amnesty International. Kini, hukuman mati di Singapura masih diteruskan pada 2024, termasuk setakat minggu lepas.  

“Dengan meneruskan pelaksanaan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah, Singapura melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan mengabaikan seruan global untuk menghentikan hukuman mati. Akibat undang-undang berkaitan dadah yang keras, ramai rakyat Malaysia telah dihukum mati, dengan lebih ramai lagi pada masa ini berisiko hukuman mati mereka dilaksanakan di Singapura,” kata Qistina. 

Sejak 30 Mac 2022—apabila hukuman mati disambung semula selepas terhenti selama dua tahun—Singapura telah melaksanakan hukuman mati ke atas 20 orang, dengan 19 orang daripadanya atas kesalahan berkaitan dadah. Lima daripada hukuman mati ini telah disahkan dilaksanakan pada tahun 2023, termasuk hukuman mati pertama yang diketahui terhadap seorang wanita di Singapura dalam dua dekad. 

Pada titik penting dalam sejarah ini, Malaysia mesti melakukan semua yang termampu untuk menyokong rakyat Malaysia yang berisiko dihukum mati di Singapura, dengan mengambil kira kedudukan semasanya dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sebagai negara yang seterusnya untuk mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025. 

“Hukuman mati tidak menjadikan kita lebih selamat. Tiada bukti ia bertindak sebagai penghalang unik kepada jenayah dan ia hanya mengekalkan kitaran keganasan. Penolakan berterusan oleh pihak berkuasa Singapura untuk mengakui kesan buruk daripada hukuman ini ke atas ahli keluarga banduan yang berdepan hukuman mati, dan kepada masyarakat secara keseluruhannya, amat menghampakan,” kata Qistina. 

“Walaupun kemajuan Malaysia ke arah pemansuhan telah mendapat pengiktirafan, perjalanan kami masih belum berakhir. Pihak berkuasa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menunjukkan kepimpinan dalam isu hak asasi manusia yang mendesak ini dan harus bergerak ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati di Malaysia dan menyokong pemansuhannya di luar sempadan negara,” kata Qistina. 

Sebagai langkah segera seterusnya, Malaysia mesti dengan pantas memperkenalkan pindaan perundangan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membawanya selaras dengan undang-undang dan standard hak asasi manusia antarabangsa, termasuk dengan memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah serta peruntukan anggapan bersalah dalam undang-undang. 

Kesan Tersembunyi: Singapura dan Hukuman Mati 

Untuk menyerlahkan kesan buruk hukuman mati ke atas keluarga dan menyokong kerja aktivis anti-hukuman mati di Singapura, Amnesty International Malaysia (AIM), dengan kerjasama Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) dan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), akan memperingati Hari Menentang Hukuman Mati Sedunia 2024 dengan acara dua hari. Bertajuk Kesan Tersembunyi: Singapura dan Hukuman Mati, acara ini memberi tumpuan kepada penggunaan hukuman mati yang berterusan oleh Singapura, terutamanya untuk kesalahan berkaitan dadah. 

  • Acara ini akan menampilkan Pameran Fotografi bertajuk Hope & Sorrow, yang memaparkan gambar-gambar yang diambil oleh wartawan foto, Piero Zilio, menggambarkan kisah dan detik sukar yang dihadapi oleh tiga keluarga (termasuk dua keluarga Malaysia) yang terjejas oleh hukuman mati Singapura. 
     
  • Turut akan ditampilkan semasa acara tersebut ialah Seni Instalasi oleh OCTO, yang memberikan pengalaman mendalam tentang sel penjara kurungan bersendirian, seiring dengan surat-surat yang merayu pengampunan bagi seorang individu banduan akhir. 
     
  • Kesan Tersembunyi juga akan mempamerkan beberapa karya seni digital dan buah pendapat belia Malaysia yang menyokong pemansuhan hukuman mati, yang dikemukakan sebagai sebahagian daripada pertandingan seni Create for Justice anjuran MCCHR dan ADPAN. 
     
  • Pada hari Sabtu, 12 Oktober, kami akan mengadakan perbincangan panel dengan peguam, aktivis dan ahli keluarga yang mengetengahkan kes-kes rakyat Malaysia yang dihukum mati kerana kesalahan berkaitan dadah di Singapura
     
  • Pada hari Ahad, 13 Oktober, dokumentari berjudul Menunggu Masa, yang meneroka kesan hukuman mati ke atas ahli keluarga mereka yang dihukum mati akan ditayangkan, diikuti dengan nyalaan lilin sebagai tanda solidariti dengan rakyat Malaysia dan semua banduan akhir yang lain di Singapura
     
  • Pada kedua-dua hari ini, ada ruang disediakan di mana pengunjung boleh menandatangani petisyen untuk Pannir Selvam, seorang banduan akhir warga Malaysia di Singapura yang telah tamat proses rayuannya. 

Amnesty International Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati, di Malaysia dan di negara-negara seperti Singapura di mana hukuman ini masih dilaksanakan. Kesan Tersembunyi: Singapura dan Hukuman Mati bermula pada 12 Oktober hingga 13 Oktober di Slate at the Row, dari 11 pagi hingga 6 petang. Untuk maklumat lanjut dan mendaftar kehadiran anda, layari: https://bit.ly/HiddenImpact2024 

Amnesty International menentang hukuman mati dalam semua kes tanpa pengecualian tanpa mengira jenis atau keadaan jenayah; rasa bersalah, tidak bersalah atau ciri-ciri lain individu; atau kaedah yang digunakan oleh negara untuk melaksanakan hukuman. 

Untuk pertanyaan media atau menjadualkan temu bual dengan jurucakap kami, sila hubungi: [email protected]