KENYATAAN MEDIA BERSAMA
22 SEPTEMBER 2025
Memandangkan lima banduan lelaki kini dipercayai berisiko di Singapura, kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, menyeru pihak berkuasa Singapura untuk menghentikan serta-merta semua hukuman mati. Kami juga menggesa kerajaan Malaysia untuk mengambil semua langkah yang mungkin untuk melindungi hak rakyatnya yang berhadapan dengan hukuman mati di Singapura dan mendesak supaya hukuman mati dihentikan sepenuhnya, di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.
Antara mereka yang berisiko pelaksanaan hukuman mati ialah Datchinamurthy a/l Kataiah, Pannir Selvam Pranthaman, Saminathan a/l Selvaraju, Lingkesvaran Rajendaren dan Jumaat bin Mohamed Sayed. Kesemua mereka dijatuhi hukuman mati kerana didakwa mengedar dadah, dan masing-masing telah menjalani kehidupan selama tujuh hingga sepuluh tahun sebagai banduan akhir. Sementara Jumaat adalah warga Singapura, empat lagi adalah warga Malaysia. Rayuan terkini kelima-lima mereka telah ditolak, selepas bertahun-tahun mereka berjuang mengatasi segala kemungkinan untuk mendapatkan keadilan.
Singapura telah pun melaksanakan hukuman mati ke atas sepuluh lelaki, termasuk dua rakyat Malaysia, setakat tahun ini. Pada Ogos 2025, Kabinet Singapura menasihatkan Presiden untuk memberikan pengampunan kepada seorang yang dihukum mati—kali pertama ini dilakukan dalam hampir tiga dekad. Walaupun kami mengalu-alukan keputusan yang jarang berlaku ini, ia hanya menekankan kesewenang-wenangan dan kekejaman hukuman mati untuk semua yang lain yang masih berisiko.
Individu yang dihukum mati di Singapura dan keluarga mereka hanya diberi notis empat hingga tujuh hari sebelum hukuman mati dilaksanakan. Sebagaimana kami menggesa pihak berkuasa kedua-dua negara untuk melindungi hak asasi manusia dan menamatkan hukuman mati, kami juga menggalakkan rakyat Malaysia dan Singapura untuk bertindak sekarang untuk membantu menghentikan hukuman mati yang akan dilaksanakan terhadap individu-individu ini; kami tidak mampu untuk menunggu, sementara kami tahu mana-mana individu ini mungkin mendapat notis pelaksanaan dalam beberapa hari akan datang.
Pada persimpangan kritikal ini, kerajaan Malaysia mesti bertindak tegas untuk melindungi nyawa rakyatnya dan semua yang menghadapi hukuman mati, serta mendesak pemansuhan hukuman mati di rantau ini. Ramai anak muda Malaysia, sering daripada latar belakang sosio-ekonomi yang kurang bernasib baik, telah terdedah untuk direkrut ke dalam perdagangan dadah, dan kerajaan Malaysia mempunyai kewajipan moral untuk membela mereka, bukan membiarkan mereka mati di penjara asing. Setelah memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023, dan meneruskan usaha ke arah pemansuhan sepenuhnya, Malaysia kini perlu melangkah lebih jauh dengan memperluaskan advokasinya untuk melindungi warganegaranya di luar negara yang kekal berisiko di bawah rejim hukuman mati mandatori yang keras dan kejam di Singapura.
Sementara itu, rakyat Singapura yang gerun dengan hukuman mati ini mesti bersuara menentang hukuman yang tidak berperikemanusiaan ini. Singapura semakin bersendirian di rantau ini dalam melaksanakan hukuman mati mandatori dan melaksanakan hukuman mati bagi pengedaran dadah.
Kes Pannir Selvam Pranthaman
Salah seorang warga Malaysia yang berisiko tinggi ialah Pannir Selvam Pranthaman. Kes beliau dipenuhi dengan pelanggaran undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, dan menunjukkan kelemahan asas dalam rejim hukuman mati yang kejam di Singapura.
Pada 2017, Pannir disabitkan kesalahan mengimport 51.84g diamorphine (heroin) ke Singapura dan dijatuhkan hukuman mati mandatori. Walaupun terdapat bukti bahawa beliau hanyalah “kurier” dan telah memberikan maklumat substantif kepada pihak berkuasa, Jabatan Peguam Negara Singapura enggan mengeluarkan Sijil Bantuan Substantif kepada Pannir. Tanpa sijil sedemikian, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain menjatuhkan hukuman mati kepada beliau. Pannir, melalui keluarganya, telah berkongsi maklumat dengan Polis Diraja Malaysia berhubung operasi sindiket di sepanjang pantai Malaysia. Kesnya juga telah terjejas oleh kekurangan perwakilan undang-undang semasa soal siasat polis, undang-undang yang menyekat rayuan selepas sabitan kesalahan, penafian bantuan guaman pada peringkat selepas rayuan, dan pelanggaran komunikasi istimewa antara mereka yang menghadapi hukuman mati dengan peguam.
Pada 5 September 2025, Mahkamah Rayuan Singapura menolak permohonan terbaru Pannir untuk penangguhan pelaksanaan, walaupun aduan tatatertib beliau terhadap bekas peguam beliau masih belum diselesaikan. Mahkamah berkata dalam penghakimannya bahawa Persatuan Undang-undang Singapura mungkin perlu bertindak segera untuk “memelihara” keterangan Pannir sebelum pelaksanaan hukuman mati ke atas beliau─satu pengakuan yang mengejutkan dan mengerikan tentang kekejaman besar hukuman mati yang semakin hampir.
Penggunaan Anggapan (Bersalah) Undang-undang dalam Kes-kes Jenayah: Pertarungan Berani oleh Datchinamurthy, Saminathan, Lingkesvaran dan Jumaat
Pada Ogos 2022, Datchinamurthy, Saminathan, Lingkesvaran dan Jumaat memfailkan cabaran terhadap perlembagaan anggapan (bersalah) undang-undang berhubung dengan pengedaran, pemilikan dan pengetahuan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura. Mereka masing-masing telah disabitkan berdasarkan kepada dua anggapan sedemikian yang terkandung dalam Seksyen 18(1) dan 18(2) Akta itu.
Akta Penyalahgunaan Dadah membenarkan anggapan (bersalah) undang-undang digunakan oleh pihak pendakwaan, di mana beban pembuktian dialihkan kepada defendan untuk disangkal oleh mereka kepada piawaian undang-undang “pada keseimbangan kebarangkalian”. Walaupun bidang kuasa lain seperti Kanada, Hong Kong dan United Kingdom telah menolak penggunaan anggapan undang-undang untuk disangkal atas imbangan kebarangkalian—atas dasar membenarkan seseorang tertuduh disabitkan walaupun keraguan munasabah masih wujud—Singapura terus menggunakan anggapan (bersalah) undang-undang tersebut dalam kes pengedaran, pemilikan dan pengetahuan dalam kes dadah. Anggapan bersalah secara berkesan melemahkan jaminan perbicaraan yang adil di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan melanggar hak untuk dianggap tidak bersalah, norma lazim undang-undang antarabangsa. Selanjutnya, anggapan pemilikan dan pengetahuan boleh digunakan bersama-sama di Singapura—penggunaannya telah diterangkan di mahkamah lain sebagai suatu penghinaan kepada anggapan tidak bersalah.
Empat lelaki banduan akhir ini telah mengharungi suatu cabaran perjalanan yang panjang dan sukar. Skim bantuan guaman di Singapura tidak meliputi pemfailan rayuan luar biasa. Memandangkan mereka tidak mempunyai cara untuk menghubungi peguam secara persendirian, mereka berempat tidak diwakili untuk masa yang lama, memaksa mereka hadir ke mahkamah tanpa peguam untuk menghujahkan bantahan mereka sendiri. Apabila peguam kanan asing menawarkan untuk mewakili mereka secara pro bono, mahkamah memutuskan bahawa mereka sendiri perlu menghujahkan permintaan untuk menerima peguam asing ini untuk mewakili mereka di Singapura — mewujudkan keadaan yang keterlaluan di mana orang yang dihukum mati terpaksa mengemukakan hujah undang-undang yang sangat teknikal manakala peguam kanan asing hanya boleh melihat ini berlaku. Akhirnya, Mahkamah Singapura menolak permohonan mereka supaya peguam ini mewakili mereka.
Hanya kira-kira dua tahun selepas cabaran perlembagaan mereka difailkan, beberapa peguam tempatan bersetuju untuk mengambil kes mereka, yang ditolak bulan lalu. Dengan berakhirnya kes ini, tiada lagi prosiding undang-undang tertangguh untuk menghalang pihak berkuasa Singapura daripada menjadualkan pelaksanaan hukuman mati mereka.
Kebimbangan Besar Terhadap Lain-lain Pelanggaran Undang-undang dan Piawaian Hak Asasi Manusia Antarabangsa
Kami mengingatkan pihak berkuasa Singapura bahawa perlindungan antarabangsa mengenai penggunaan hukuman mati melarang pelaksanaan hukuman mati sementara rayuan atau prosedur lain yang dilakukan masih belum selesai. Sudah tentu boleh diakui bahawa penglibatan Pannir—untuk mengarahkan peguam, memberi keterangan dan menjawab sebarang bukti yang dibangkitkan oleh bekas peguam beliau—adalah satu-satunya cara untuk memastikan keputusan yang adil dalam aduan beliau yang dikemukakan kepada Persatuan Undang-undang Singapura. Ini amat kritikal memandangkan aduan itu termasuk perbualan langsung yang melibatkan Pannir dan bekas peguam beliau; dan beberapa orang lain yang dihukum mati yang juga telah memfailkan aduan terhadap peguam yang sama ini telah pun dilaksanakan hukuman mereka sebelum keterangan mereka didengar.
Seperti Pannir, surat-menyurat peribadi kedua-dua Datchinamurthy dan Saminathan juga telah disalin dan diserahkan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura, tanpa kebenaran, kepada Jabatan Peguam Negara—suatu tindakan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Singapura sebagai menyalahi undang-undang.
Individu yang dijatuhkan hukuman mati di Singapura telah menimbulkan kebimbangan serius tentang halangan yang sangat terlarang yang mereka hadapi dalam memfailkan permohonan undang-undang selepas rayuan jenayah mereka selesai. Mereka juga berulang kali membangkitkan betapa sukarnya untuk mereka melibatkan peguam di Singapura, memandangkan risiko denda yang membebankan, teguran dan kos yang perlu ditanggung oleh peguam untuk mengambil kes jenayah di peringkat akhir. Keadaan hukuman mati di Singapura semakin memburuk saban tahun, dengan banduan mengalami pengasingan dalam sel bersendirian, komunikasi yang sangat terhad antara mereka dan orang tersayang mereka, dan pihak berkuasa penjara menjadikannya hampir mustahil bagi banduan yang terlibat dalam cabaran undang-undang yang sama untuk berbincang antara satu sama lain.
Hukuman mati bagi kesalahan dadah melanggar undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, yang mengehadkan penggunaan hukuman mati hanya kepada “jenayah paling serius”, yang difahami sebagai pembunuhan dengan sengaja. Pengedaran dadah tidak memenuhi ambang ini. Kedua-dua Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah secara konsisten mengesahkan pendirian ini. Namun sebahagian besar hukuman mati yang berlaku di Singapura dijalankan sebagai sebahagian daripada kempen nasional “perang melawan dadah”—yang mana menunjukkan betapa jauhnya pendirian Singapura berbanding masyarakat antarabangsa dalam soal hak asasi manusia dan keadilan.
Perdana Menteri Baharu, Lawrence Wong
Sebagai perdana menteri baharu Singapura, Lawrence Wong berpeluang mengambil langkah penting untuk menghentikan penggunaan hukuman mati yang kejam dan tidak berperikemanusiaan di Singapura yang telah meragut ratusan nyawa sejak merdeka. Mengenakan moratorium serta-merta ke atas hukuman mati dan memansuhkan hukuman mati mandatori akan menjadi langkah penting yang mendesak yang boleh beliau lakukan, dengan tujuan ke arah pemansuhan sepenuhnya. Ini bukan sahaja akan menyelamatkan nyawa ramai banduan akhir, tetapi juga memastikan Singapura tidak ketinggalan oleh trend antarabangsa yang menolak penggunaan hukuman mati.
Perdana Menteri Wong setakat ini tidak membuat sebarang kenyataan umum mengenai penggunaan hukuman mati oleh Singapura. Bagaimanapun, pengampunan pertama yang diberikan kepada banduan hukuman mati dalam tempoh 27 tahun—yang tidak mungkin berlaku tanpa Kabinet Wong menasihati Presiden Tharman Shanmugaratnam untuk berbuat demikian—menunjukkan bahawa perubahan boleh dilakukan. Perdana Menteri Wong tidak seharusnya berdiam diri dalam isu ini, dan harus menunjukkan kepimpinan dalam menamatkan penggunaan hukuman mati oleh Singapura.
Peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN: Peluang Menerajui Pemansuhan
Pemansuhan hukuman mati mandatori Malaysia berkuat kuasa pada Julai 2023, sebelum proses pendakwaan semula menyeluruh di mahkamah untuk semua individu yang dijatuhkan hukuman mati mandatori sebelum pindaan, termasuk mereka yang disabitkan kesalahan mengedar dadah. Akibatnya, kebanyakan hukuman mati telah diketepikan dan digantikan dengan 30 hingga 40 tahun penjara dan, jika berkenaan, sebat.
Kami diberi suntikan semangat dengan pengumuman baru-baru ini bahawa moratorium pelaksanaan hukuman mati terus dipatuhi di Malaysia dan kajian baharu sedang ditugaskan untuk mempertimbangkan kemungkinan pemansuhan hukuman mati sepenuhnya. Sebagai Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Malaysia mempunyai kedudukan unik untuk memperjuangkan hak asasi manusia di rantau ini. Campur tangan Malaysia dalam kes ini bukan sahaja menunjukkan komitmennya untuk menyokong rakyatnya yang menghadapi hukuman mati di luar negara, tetapi juga kepimpinannya dalam memajukan agenda hak asasi manusia dalam ASEAN.
Kami menyeru pihak berkuasa kedua-dua negara untuk:
1) Melibatkan diri dalam campur tangan yang pantas dan berkesan: Gunakan semua saluran yang ada, termasuk rayuan diplomatik langsung untuk menggesa Kerajaan Singapura supaya tidak melaksanakan hukuman mati ke atas Datchinamurthy, Pannir, Saminathan, dan Lingkesvaran, dan untuk menghalang hukuman mati selanjutnya daripada berlaku di Singapura, termasuk yang akan menyalahi undang-undang di bawah undang-undang dan piawaian antarabangsa;
2) Memanfaatkan mekanisme ASEAN dan memimpin melalui contoh: Gunakan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk menyokong kerjasama serantau untuk menghapuskan hukuman mati, sambil bergerak ke arah pemansuhan sepenuhnya di negara sendiri untuk menunjukkan contoh yang kukuh bagi rantau ini.
3) Berkomitmen ke arah pemansuhan hukuman mati sepenuhnya: Melaksanakan atau mengekalkan moratorium ke atas pelaksanaan hukuman mati, dan menjalankan kajian bebas, berasaskan bukti dan telus untuk menjauhi hukuman mati.
Ini bukan semata-mata untuk menyelamatkan nyawa beberapa orang lelaki banduan akhir terpilih yang mendekam di Penjara Changi Singapura. Ia adalah mengenai menamatkan kekejaman hukuman mati, memastikan kedua-dua Singapura dan Malaysia menegakkan maruah dan hak semua, dan menunjukkan kepimpinan yang diperlukan untuk menggerakkan negara mereka dan serantau ke arah pemansuhan.
Kami menyeru Kerajaan Malaysia untuk bertindak tanpa berlengah-lengah, dan kepada pihak berkuasa Singapura untuk melaksanakan moratorium serta-merta ke atas hukuman mati, dan mengelak daripada mengeluarkan sebarang notis pelaksanaan.
*Pada 21 September 2025, keluarga Datchinamurthy Kataiah menerima berita bahawa hukuman mati ke atas beliau akan dilaksanakan pada 25 September 2025 di Penjara Changi.
Penandatangan:
- Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN)
- Amnesty International
- Capital Punishment Justice Project
- Transformative Justice Collective (Singapore)
- Student Actions for Transformative Justice (SATU, Singapore)
- Alliance Against the Death Penalty (AADP, Singapore)
- Function 8 (Singapore)
- Center for Orang Asli Concerns
- Advancing Knowledge in Democracy and Law initiative
- Freedom Film Network
- Sebaran Kasih Malaysia
- ECPM (Together Against the Death Penalty)
- MADPET-Malaysians Against Death Penalty and Torture
- Center for Alliance of Labor and Human Rights
- Redemption Pakistan
- Workers Hub For Change (WH4C)
- North South Initiative
- Julian Wagner Memorial Fund Inc.
- Australians Against Capital Punishment
- The National Human Rights Society (HAKAM)
- Centre for Independent Journalism
- HAKAM
- Banglar Manabadhikar Suraksha Mancha (MASUM)
- Coalition for Clean & Fair Election (BERSIH)
- Saya Anak Bangsa Malaysia [SABM]
- SIS Forum (Malaysia)
- TENAGANITA
- Maldivian Democracy Network
- Bersih
- KLSCAH Youth
- Puerto Rico Bar
- ALIRAN
- International Federation of Journalists


