PETIKAN MEDIA
28 JULAI 2026
Mengulas arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya pihak berkuasa mengambil “tindakan tegas” terhadap pelarian Rohingya yang berhimpun di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur semalam di mana mengakibatkan penahanan lebih 100 pelarian Rohingya, Jurucakap Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan Balakrishnan, berkata:
“Respons Perdana Menteri Anwar Ibrahim amat membimbangkan kerana ia telah mengubah situasi yang pada asasnya bersifat kemanusiaan kepada isu penguatkuasaan. Mereka ialah pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak yang dilaporkan datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan selepas dipindahkan dari tempat tinggal mereka. Namun, daripada sepatutnya memberikan perlindungan dan sokongan, respons Perdana Menteri telah mengakibatkan beberapa keluarga ditahan serta berdepan ancaman tindakan imigresen.
Malaysia tidak boleh membina sistem perlindungan pelarian yang berwibawa jika pada masa yang sama terus mengira pelarian sebagai individu yang perlu ditangkap, ditahan dan dihantar pulang. Pelarian dan pencari suaka harus dilayan dengan bermaruah selaras dengan hak asasi manusia mereka sebagai individu yang memerlukan perlindungan tanpa mengira sama ada Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 atau tidak.
Melihat isu ini semata-mata dari sudut penahanan, kesalahan imigresen dan pengusiran berisiko mengaburkan realiti bahawa mereka ialah individu yang memerlukan perlindungan. Naratif awam seperti ini yang datang daripada peringkat tertinggi kerajaan juga telah menyumbang secara ketara kepada peningkatan stigma, diskriminasi dan permusuhan terhadap mereka yang sedang mencari perlindungan.
Kami juga mengingatkan kerajaan bahawa prinsip non-refoulement melarang penghantaran pulang seseorang ke tempat di mana mereka berdepan risiko sebenar penganiayaan, penyeksaan atau pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Memandangkan konflik yang berterusan serta krisis hak asasi manusia di Myanmar, Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan Malaysia supaya menghentikan semua pelan pengusiran dan sebarang bentuk penghantaran pulang secara paksa terhadap pelarian Rohingya dan warga Myanmar lain ke Myanmar.
Kerajaan harus mengambil peluang ini untuk berhenti seketika dan menilai semula secara menyeluruh hala tuju dasar pelariannya. Jika Malaysia benar-benar serius untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam pengurusan pelarian, ia tidak boleh menjadikan penahanan dan penghantaran pulang mereka yang memerlukan perlindungan sebagai asas pendekatannya. Kami menggesa kerajaan supaya segera berunding dengan masyarakat sivil dan komuniti pelarian bagi membangunkan kerangka perlindungan pelarian yang menghormati hak asasi manusia, berteraskan perlindungan, maruah dan penyelesaian yang berkekalan sebelum dasar dan amalan yang memudaratkan terus bertumbuh,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
LATAR BELAKANG
Pada 27 Julai 2026, lebih 100 pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak, berhimpun di luar pejabat UNHCR di Kuala Lumpur selepas dipindahkan dari kediaman mereka di Pulau Pinang dan datang ke ibu negara untuk mendapatkan bantuan serta perlindungan. Susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengarahkan pihak berkuasa mengambil “tindakan tegas” terhadap mereka yang berhimpun, kumpulan tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa.
Insiden ini berlaku ketika kerajaan baru-baru ini mengambil beberapa langkah dan mengeluarkan kenyataan berkaitan pelarian dan pencari suaka termasuk menggantung pendaftaran pelarian oleh UNHCR serta mengumumkan rancangan untuk menghantar pulang warga Myanmar.
Amnesty International Malaysia menggesa pembebasan segera semua pelarian dan pencari suaka yang ditahan semata-mata atas dasar status imigresen mereka, pelaksanaan larangan mutlak terhadap semua pengusiran dan penghantaran pulang secara paksa ke Myanmar, serta rundingan yang bermakna dengan komuniti pelarian dan masyarakat sivil dalam membangunkan kerangka perlindungan pelarian yang menghormati hak asasi manusia.
Bagi maklumat lanjut, sila hubungi: [email protected]


