MALAYSIA: TINDAKAN PERDANA MENTERI UNTUK MEMPERCEPATKAN PEMULANGAN PELARIAN KE MYANMAR CETUS KEBIMBANGAN TERHADAP HAK ASASI MANUSIA

17 September 2026
Petikan Media

Mengulas laporan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia untuk menjemput Presiden Myanmar Min Aung Hlaing ke Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan pemulangan pelarian ke Myanmar, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Joshua Ericsson, berkata: 

“Amat membimbangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilihat berhasrat untuk berunding dengan Min Aung Hlaing bagi mempercepatkan pemulangan pelarian Rohingya dan warganegara Myanmar yang lain sedangkan krisis hak asasi manusia di Myanmar masih berterusan. 

Persoalannya bukan sama ada pihak berkuasa Myanmar bersedia menerima pelarian yang pulang. Hakikatnya, pelarian tidak boleh kembali ke Myanmar dengan selamat, secara sukarela dan dengan hak mereka dilindungi selagi risiko penganiayaan, keganasan atau pencabulan hak asasi manusia yang serius masih berterusan. Memulangkan pelarian dalam keadaan sedemikian bukan sahaja merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip non-refoulement, malah akan meletakkan ribuan nyawa dalam bahaya. Setakat ini, tiada bukti bahawa keadaan di Myanmar telah bertambah baik sehingga pemulangan dapat dilakukan dengan selamat. 

Walaupun Perdana Menteri cuba menggambarkan langkah ini sebagai satu kejayaan diplomatik, meneruskan rancangan ini hanya akan meninggalkan suatu titik hitam kekal dalam rekod hak asasi manusia Malaysia. 

Kami amat prihatin bahawa perbincangan ini berlangsung ketika usaha mendapatkan kebertanggungjawaban di peringkat antarabangsa masih berjalan termasuk prosiding di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan siasatan terhadap Myanmar di Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Min Aung Hlaing mengetuai tentera Myanmar ketika kempen ketenteraan pada 2017 terhadap Rohingya dan kini masih menjadi subjek permohonan waran tangkap di Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan. 

Selagi kebertanggungjawaban masih tidak tercapai dan keadaan yang memaksa orang ramai melarikan diri masih tidak berubah, keutamaan mestilah melindungi pelarian dan pencari suaka dan bukannya mempercepatkan pemulangan mereka ke persekitaran yang tidak selamat. Malaysia tidak seharusnya meletakkan dirinya di sisi sejarah yang salah dengan meneruskan pemulangan sebelum keselamatan, kebertanggungjawaban dan perlindungan hak asasi manusia terjamin. 

Latar Belakang 

Pada 16 September 2026, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan untuk menjemput Min Aung Hlaing, Presiden Myanmar dan bekas ketua Angkatan Tentera Myanmar, ke Malaysia. Anwar Ibrahim berkata lawatan tersebut akan menjadi sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan pemulangan pelarian Rohingya dan warganegara Myanmar yang lain dari Malaysia ke Myanmar. 

Pengumuman tersebut menyusuli keputusan kerajaan Malaysia sebelum ini untuk meneruskan pemulangan 1,476 pelarian Myanmar pada 29 September 2026 sebagai fasa pertama dalam satu aturan lebih besar yang melibatkan 5,000 pelarian Myanmar. 

Pemulangan yang dicadangkan ini dilakukan dalam keadaan konflik, perpindahan penduduk dan kebimbangan hak asasi manusia yang serius masih berterusan di Myanmar. Pada September 2026, Volker Türk, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia, memberi amaran mengenai krisis hak asasi manusia yang semakin meruncing di Myanmar dan menyatakan bahawa tiada asas untuk memulangkan Rohingya serta pelarian lain ke Myanmar ketika keadaan tidak selamat dan berbahaya masih berterusan. Beliau turut menyatakan bahawa pemulangan sedemikian akan merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap prinsip non-refoulement. 

Amnesty International sebelum ini menyatakan bahawa kedudukan berkuasa tidak seharusnya melindungi Min Aung Hlaing daripada dipertanggungjawabkan atas dakwaan jenayah di bawah undang-undang antarabangsa dan telah menggesa supaya akauntabiliti ditegakkan atas kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya.