Kenyataan Bersama Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia
29 September 2026
Amnesty International Malaysia (AIM) dan Asylum Access Malaysia (AAM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Malaysia menghantar pulang 1,476 warga Myanmar sebagai fasa pertama daripada satu pengaturan yang lebih besar untuk menghantar pulang 5,000 orang ke Myanmar.
Kami kesal kerana kerajaan memilih untuk meneruskan penghantaran pulang walaupun telah berulang kali diberi amaran oleh organisasi masyarakat sivil, komuniti pelarian dan pakar hak asasi manusia antarabangsa bahawa keadaan di Myanmar asasnya masih tidak selamat. Pengusiran ini melanggar prinsip non-refoulement, yang mengikat Malaysia sebagai suatu peraturan undang-undang adat antarabangsa tanpa mengira sama ada Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Pelarian, serta larangan terhadap pengusiran secara kolektif.
Penghantaran pulang hari ini turut menimbulkan kebimbangan serius mengenai tujuan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang telah dipromosikan oleh kerajaan sepanjang tahun lalu. Kerangka perlindungan pelarian yang bermakna mesti memastikan pelarian dapat mengakses perlindungan suaka ketika berada di Malaysia. Ia tidak boleh menjadi satu sistem yang direka untuk mempercepatkan pengusiran yang menyalahi undang-undang.
Kami juga amat bimbang bahawa perkara ini berlaku pada ketika masyarakat antarabangsa menuntut akauntabiliti terhadap kekejaman yang dilakukan di Myanmar, termasuk melalui prosiding di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan usaha di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
“Ini merupakan antara kegagalan perlindungan pelarian paling serius yang dilakukan Malaysia dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kerajaan telah berulang kali diberi amaran mengenai risikonya. Kerajaan telah mendengar pandangan daripada komuniti pelarian, organisasi masyarakat sivil, agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pakar antarabangsa. Namun, kerajaan tetap memilih untuk meneruskannya,” kata Joshua Ericsson, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia.
Ini Bukan Insiden Terpencil
Apa yang berlaku hari ini tidak seharusnya dilihat sebagai satu kejadian terpencil.
Sejak rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 2021, Malaysia berulang kali mengambil tindakan yang telah meletakkan warga Myanmar dalam keadaan berisiko termasuk pengusiran yang menyalahi undang-undang walaupun terdapat kebimbangan perlindungan yang serius, laporan mengenai tindakan menolak bot di laut yang tidak berperikemanusiaan sehingga berakhir dengan tragedi, amalan penahanan imigresen tanpa tempoh yang jelas dan kejam, serta ketiadaan sistem suaka yang telus dan menghormati hak asasi.
Lima tahun lalu, AIM dan AAM membawa kes ke mahkamah Malaysia bagi mencabar pengusiran 1,200 warga Myanmar.
Kami telah memberi amaran ketika itu bahawa Malaysia berisiko melanggar prinsip non-refoulement dengan menghantar pulang individu ke tempat di mana mereka berdepan bahaya yang serius. Hari ini, walaupun semakin banyak bukti menunjukkan bahawa pencabulan hak asasi di Myanmar masih berterusan, kerajaan memilih untuk mengulangi kesilapan yang sama.
“Lima tahun kemudian, keadaan di Myanmar telah merosot dengan ketara, namun Malaysia telah membuat keputusan untuk memeterai satu perjanjian dengan kerajaan junta Myanmar bagi menghantar ribuan orang kembali ke tempat yang mempunyai risiko bahaya dan penganiayaan. Malaysia bukannya tidak mengetahui risiko-risiko ini. Ini merupakan pilihan dasar yang dibuat dengan pengetahuan penuh tentang bahayanya,” kata Joanne Chua, Pengarah Eksekutif Asylum Access Malaysia.
Tamparan kepada Kredibiliti Malaysia
Hanya beberapa hari lalu, Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan menyatakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa “undang-undang antarabangsa tidak boleh menjadi menu pilihan, di mana peraturan hanya terpakai apabila ia menguntungkan.”
Namun, itulah yang kelihatan sedang berlaku di dalam negara.
Selama bertahun-tahun, Malaysia lantang bersuara mengenai akauntabiliti, penyelesaian dan keperluan menangani punca utama perpindahan paksa di Myanmar. Malaysia telah mengalu-alukan usaha akauntabiliti antarabangsa berkaitan kekejaman terhadap Rohingya dan secara konsisten berhujah bahawa impuniti tidak boleh dibiarkan.
Namun hari ini, kerajaan yang sama bersedia untuk menghamparkan permaidani merah dan menjadi tuan rumah kepada Min Aung Hlaing di Malaysia bagi memudahkan kepulangan pelarian secara dipercepatkan walaupun terdapat permohonan waran tangkap di ICC terhadapnya berhubung dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan terhadap Rohingya. Permohonan tersebut masih belum diputuskan oleh kamar pra-perbicaraan ICC.
“Malaysia tidak boleh memperjuangkan akauntabiliti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sambil membuat perjanjian dengan Min Aung Hlaing untuk memudahkan penghantaran pulang yang berbahaya ke Myanmar. Jika undang-undang antarabangsa benar-benar penting bagi Malaysia, ia mesti dilaksanakan secara konsisten, walaupun berbuat demikian menjadi sukar dari segi politik. Pelarian dan pencari suaka berhak mendapat perlindungan yang sama seperti yang dituntut Malaysia untuk pihak lain di pentas antarabangsa,” kata Joshua Ericsson.
Persoalan Serius Mengenai Sistem Pengurusan Pelarian Malaysia
Penghantaran pulang hari ini turut menimbulkan kebimbangan serius mengenai kerangka pengurusan pelarian baharu Malaysia.
Selama berbulan-bulan, kerajaan telah mempromosikan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dan pembangunan kerangka pengurusan pelarian nasional. Namun, salah satu hasil terawal dan paling ketara yang dikaitkan dengan perkembangan ini kelihatan seperti penyingkiran secara besar-besaran dan kolektif pelarian Myanmar.
Banyak persoalan masih belum terjawab. Bagaimanakah individu-individu ini dikenal pasti untuk dihantar pulang dan apakah kriteria yang digunakan? Mengapakah ia dilakukan melalui proses yang kononnya direka untuk mengenal pasti dan melindungi pelarian? Apakah perlindungan yang tersedia bagi memastikan individu yang mempunyai keperluan perlindungan tidak dihantar kembali ke tempat yang berbahaya?
Amnesty International Malaysia dan Asylum Access Malaysia bimbang bahawa berdasarkan keadaan semasa di Myanmar, tiada satu pun daripada penghantaran pulang ini boleh dianggap benar-benar sukarela walaupun kerajaan sebelum ini menyatakan pada 2 September bahawa pelarian telah menandatangani dokumen yang menyatakan mereka secara sukarela mahu pulang.
Sesuatu kerangka pengurusan pelarian tidak boleh dianggap berwibawa apabila persoalan asas mengenai ketelusan, akauntabiliti, pengawasan dan perlindungan masih tidak terjawab.
“Sesuatu dokumen pendaftaran hanya bermakna jika ia melindungi individu yang memegangnya. Ujian bagi mana-mana kerangka pengurusan pelarian adalah mudah: adakah pelarian lebih selamat selepas didaftarkan berbanding sebelum ini? Berdasarkan apa yang kita lihat minggu ini, jawapannya adalah tidak. Perlindungan hanya bermula apabila tiada sesiapa perlu takut dihantar kembali ke tempat yang berbahaya,” kata Joanne Chua.
Saat Malaysia Perlu Berdepan dengan Tindakannya
AIM dan AAM menegaskan semula bahawa penyelesaian berkekalan terhadap krisis hak asasi manusia yang berterusan dan telah memusnahkan kehidupan di Myanmar tidak akan dicapai melalui penghantaran pulang yang menyalahi undang-undang. Penyelesaian tersebut hanya akan dicapai melalui akauntabiliti, perlindungan dan penyelesaian terhadap punca utama yang terus memaksa orang ramai melarikan diri dari rumah mereka.
Selagi keadaan tersebut belum wujud, Malaysia melanggar prinsip undang-undang antarabangsa mengenai non-refoulement dan mesti segera menghentikan semua rancangan untuk menghantar pulang pelarian dan pencari suaka ke Myanmar, serta memastikan perlindungan, maruah dan hak asasi manusia kekal menjadi teras tindak balasnya.
Untuk maklumat lanjut atau ingin mengatur temu bual, sila hubungi Divya Shesshsan Balakrishnan di [email protected].


