Pihak berkuasa Bangladesh perlu menyelamatkan dan menerima pelarian Rohingya yang kini terdampar di laut, kata Amnesty International hari ini. Kerajaan negara lain juga mesti menunaikan tanggungjawab bersama untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat, sesuai dengan kewajiban antarabangsa mereka untuk melindungi nyawa, dan menjamin keselamatan pelarian dan pencari suaka di laut.
Dua kapal pukat nelayan yang membawa kira-kira 500 wanita, lelaki dan kanak-kanak Rohingya kini berada di Teluk Benggala setelah ditolak oleh Malaysia yang mengenakan sekatan ke atas semua kapal berikutan wabak COVID-19. Kedua-dua kapal pukat tersebut menuju ke Bangladesh seminggu setelah sebuah kapal yang membawa hampir 400 pelarian Rohingya mendarat di sana pada 15 April. Pemerhati percaya mungkin ada kapal lain yang masih di laut dengan ratusan lagi pelarian Rohingya. Situasi getir ini menekankan perlunya negara-negara wilayah mengambil inisiatif menjalankan operasi mencari dan menyelamat jika diperlukan.
“Berbeza dengan ketidakpedulian kejam yang ditunjukkan oleh kerajaan lain yang secara terbuka menolak bot-bot daripada mendarat di pesisirnya, Bangladesh mempertahankan rekodnya yang positif dalam memberikan perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal dan mengalami jenayah ngeri,” kata Biraj Patnaik, Pengarah Asia Selatan di Amnesty International.
“Kami berharap Bangladesh akan terus menerima pelarian Rohingya dalam masa-masa sukar ini. Komuniti antarabangsa mempunyai kewajipan untuk membantu pihak berwajib Bangladesh dalam tugas ini, termasuk dalam mendukung usaha mendirikan pusat karantina dan memberikan bantuan perubatan segera kepada para pelarian supaya pulih dari perjalanan dan untuk melindungi mereka dari wabak COVID-19 yang sedang menular.”
Amnesty International minggu lalu menggesa negara-negara Asia Tenggara untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat ratusan lagi pelarian Rohingya yang mungkin masih di laut.
Malaysia telah menerima satu bot, namun secara agresif meningkatkan rondaan tentera bertujuan menakut-nakutkan bot pelarian Rohingya yang lain. Thailand pula terus membisu menghadapi krisis yang semakin meningkat ini dan tidak menyatakan pendiriannya sama ada akan menolak atau menerima kedatangan bot pelarian di lautannya.
Situasi ini menghidupkan kembali kenangan tragis krisis Laut Andaman 2015 apabila pelarian Rohingya tidak diselamatkan dan ratusan nyawa lenyap tanpa belas kasihan.
Pada Februari 2020, Pasukan Petugas mengenai Proses Bali yang melibatkan kerjasama Bangladesh, Indonesia, Malaysia dan Myanmar – “menekankan keutamaan menyelamatkan nyawa di laut dan tidak membahayakan nyawa dan keselamatan orang semasa menangani migrasi maritim yang tidak teratur.”
Pandemik COVID-19, kata Amnesty International, tidak boleh dijadikan alasan bagi negara-negara untuk mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap pelarian.
“Semua negara di rantau ini bertanggungjawab memastikan laut tidak menjadi kuburan bagi orang yang mencari keselamatan. Bangladesh tidak boleh dibiarkan menangani situasi ini tanpa bantuan dan sokongan. Hanya kerana Bangladesh bersikap amanah dalam menunaikan kewajipannya, ini bukan alasan bagi negara lain melepaskan tangan dari menunaikan tanggungjawab masing-masing,” tegas Biraj Patnaik.