Pada bulan Mac 2020, perubahan politik mengakibatkan pertukaran kerajaan di Malaysia. Amnesty International menyeru kerajaan baru untuk menghormati, melindungi, memenuhi dan mempromosikan hak asasi manusia untuk semua, dan memberi komitmen secara terbuka untuk memenuhi dan memperluaskan kewajipan hak asasi manusia antarabangsa Malaysia.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran rakyat Malaysia terhadap hak asasi manusia makin meningkat, dan keinginan rakyat supaya pihak pemerintah melaksanakan perubahan telah membawa kepada pemilihan kerajaan yang menjanjikan manifesto mesra hak asasi manusia. Walaupun kerajaan ini tidak dapat bertahan lama, hasrat rakyat Malaysia yang ingin perubahan dari segi hak asasi manusia tidak goyah.
Kami mendesak kerajaan baru untuk menghormati hasrat ini dan memajukan lapan bidang berikut:
1. HORMAT DAN LINDUNGI KEBEBASAN BERSUARA
Kebebasan bersuara tetap terancam di Malaysia. Walaupun terdapat janji-janji dari parti-parti politik dari kedua-dua belah pihak, penyalahgunaan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA), dan Akta Penapisan Filem 2002 masih berterusan. Ini telah menyebabkan ramai melakukan penapisan diri, dan memberi kesan yang membimbangkan terhadap kebebasan bersuara di negara ini.
Berikutan pilihanraya umum terakhir pada tahun 2018, penggunaan undang-undang ini terhadap pengkritik kerajaan telah menurun. Namun, pihak berkuasa tetap menyiasat individu yang bersuara mengenai isu-isu yang dianggap sensitif oleh kerajaan, khususnya agama dan kerabat diraja. Hukuman berat yang tidak tidak berkadar merisaukan, misalnya seorang individu yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana catatan Facebook pada tahun 2019 yang dianggap menghina Islam.
Pertukaran kerajaan pada bulan Mac 2020 menimbulkan semula keresahan mengenai kebebasan bersuara. Pengkritik pentadbiran baru ini dipanggil untuk disoal siasat, dan aktivis disiasat atas undang-undang hasutan kerana menyeru rakyat menunjuk perasaan. Semasa memerangi wabak COVID-19, lebih dari 200 kertas siasatan dimulakan oleh pihak berkuasa atas penyebaran maklumat palsu, dan beberapa individu dikenakan denda besar kerana menghina penjawat awam seperti pekerja kesihatan dan polis.
Cadangan Amnesty International:
- Memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan memansuhkan atau meminda undang-undang lain yang menyekat hak kebebasan bersuara sewenang-wenangnya, termasuk Undang-Undang Komunikasi dan Multimedia dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, supaya selaras undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa;
- Membebaskan dengan segara dan tanpa syarat mereka yang telah dipenjarakan kerana melaksanakan hak kebebasan bersuara secara aman, dan mengugurkan tuduhan di bawah undang-undang ini terhadap individu yang masih menghadapi perbicaraan; sementara menunggu pemansuhan akta-akta ini, memastikan bahawa tidak ada lagi yang ditangkap, disiasat, didakwa atau dipenjarakan kerana melaksanakan hak bersuara secara aman;
- Meratifikasi dan melaksanakan dari segi undang-undang, dasar dan amalan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan perjanjian hak asasi manusia lain secepat mungkin.
2. MEMASTIKAN KEBEBASAN BERHIMPUN SECARA AMAN
Pada tahun 2019, kerajaan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk melonggarkan sekatan terhadap perarakan dan demonstrasi aman yang lain dan juga memendekkan tempoh makluman yang diperlukan untuk perhimpunan dari 10 ke lima hari. Namun, di sebalik perubahan perundangan ini, individu yang menyertai tunjuk perasaan masih menghadapi siasatan polis. Pada bulan Mac, aktivis-aktivis disiasat kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang pertukaran kerajaan, dan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai hak berhimpun secara aman di bawah pentadbiran baru.
Cadangan Amnesty International:
- Mengkaji atau meminda Akta Perhimpunan Aman, Kanun Keseksaan, dan undang-undang lain untuk membenarkan demonstrasi secara aman tanpa halangan tidak berasas;
- Mempermudahkan pelaksanaan hak berhimpun secara aman kepada semua pihak di Malaysia, tanpa diskriminasi.
3. MANSUHKAN HUKUMAN MATI
Pada tahun 2018, kerajaan memperkenalkan moratorium di atas pelaksanaan hukuman mati dan berjanji untuk menghapuskan hukuman mati secara keseluruhannya, walaupun kemudiannya ditukar untuk hanya menghapus syarat wajib. Namun, pertukaran kerajaan berlaku sebelum pindaan itu dapat disahkan.
Kerajaan baru harus meneruskan usaha untuk menghapus hukuman mati mandatori sebagai langkah pertama terhadap kemansuhan sepenuhnya. Amnesty International menentang hukuman mati tanpa syarat dan untuk semua jenayah, dan menuntut ia dimansuhkan sepenuhnya. Organisasi ini menganggap hukuman mati sebagai penafian hak untuk hidup dan bentuk hukuman yang paling kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kini, hukuman mati masih dikekalkan sebagai hukuman wajib bagi kesalahan termasuk membunuh, mengedar dadah dan melepaskan senjata api dengan niat untuk membunuh atau membahayakan dalam keadaan tertentu. Kesalahan berkaitan dadah tidak memenuhi ambang “jenayah paling serius” di bawah undang-undang antarabangsa dan oleh itu tidak patut dikenakan hukuman mati.
Cadangan Amnesty International:
- Mengekalkan moratorium semua pelaksanaan hukuman mati, dengan tujuan untuk menghapuskan hukuman mati untuk semua jenayah;
- Sambil menunggu pemansuhan sepenuhnya, mansuhkan hukuman mati yang wajib serta untuk sebarang jenayah yang tidak memenuhi ambang “jenayah paling serius” di bawah undang-undang dan piawaian antarabangsa;
- Meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan hukuman mati melalui pekongsian maklumat secara terbuka serta mengikuti tatacara yang ditetapkan dalam pemakluman pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan.
4. MENCEGAH KEMATIAN DAN PENYEKSAAN DALAM TAHANAN OLEH BADAN KESELAMATAN NEGARA
Pada tahun 2018, Ketua Polis Negara menyuarakan sokongan pihak polis terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang mula-mula dicadangkan oleh suruhanjaya diraja pada tahun 2005. Rang undang-undang untuk menubuhkan suruhanjaya aduan ini dibentangkan di Parlimen di 2019, dan badan-badan bukan kerajaan termasuk Amnesty International telah memberi cadangan untuk memperkuatkan lagi institusi yang bakal ditubuhkan ini, tetapi pertukaran kerajaan terjadi sebelum RUU itu dapat dibentangkan untuk pengundian di Parlimen.
Amnesty International percaya bahawa sebab penyeksaan dan penganiayaan masih berlaku adalah kerana kegagalan kerajaan meratifikasi Konvensyen PBB bagi Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT); kegagalan memperkenalkan perlindungan yang kuat untuk melindungi tahanan; dan budaya kekebalan dan tiadanya akauntabiliti atas banyak kes kematian dalam tahanan, pembunuhan yang tidak sah, dan penyeksaan dan layanan buruk yang lain dalam dekad yang lalu.
Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas pada tahun 2019 untuk menyiasat kes-kes penghilangan paksa yang didakwa melibatkan pihak polis oleh institusi hak asasi manusia negara SUHAKAM. Walau bagaimanapun, hasil siasatan pasukan petugas tersebut belum didedahkan secara umum.
Cadangan Amnesty International:
- Teruskan usaha untuk menubuhkan suruhanjaya bebas untuk mengawasi polis. Memastikan penyiasatan yang cepat dan berkesan oleh badan bebas dan adil terhadap semua aduan dan laporan penyeksaan dan penganiayaan lain oleh polis dan pihak penguatkuasa yang lain; dan memastikan bahawa mereka yang dituduh dengan bukti yang kukuh disabit dalam pendengaran yang memenuhi piawaian keadilan antarabangsa;
- Menerbitkan hasil siasatan pasukan petugas khas mengenai kehilangan secara paksa Raymond Koh dan Amri Che Mat, dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab atas pelanggaran hak asasi manusia;
- Meratifikasi Konvensyen PBB bagi Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (UNCAT).
5. MELINDUNGI PELARIAN DAN PENCARI SUAKA
Malaysia terus melanggar larangan antarabangsa dengan menghantar pulang secara paksa pelarian dan pencari suaka ke negara-negara di mana mereka menghadapi pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Pelarian dan pencari suaka telah ditangkap sewenang-wenang, ditahan dalam keadaan teruk, dihukum sebat, mengalami pemerasan, dan diusir kembali ke tempat punca penganiayaan mereka.
Pada tahun 2019, kerajaan melanggar prinsip non-refoulement ketika menghantar pulang guru sekolah Arif Komis dan keluarganya kembali ke Turki walaupun UNHCR mengklasifikasikan mereka sebagai “orang yang menjadi perhatian” yang berisiko sekiranya mereka dipaksa kembali ke negara asal mereka.
Pada 5 April 2020, sebuah kapal yang membawa 202 orang Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak, ditahan di perairan Langkawi oleh pegawai tentera laut dan maritim Malaysia. Mereka dimasukkan ke dalam kuarantin kerana wabak COVID-19 tetapi kemudiannya mungkin dipindahkan ke Depoh Imigresen Belantik, sebuah kemudahan yang pernah dikritik Amnesty International kerana keadaannya yang teruk.
Cadangan Amnesty International:
- Menamatkan penahanan sewenang-wenangnya migran tanpa dokumen, mangsa pemerdagangan manusia, pencari suaka dan pelarian;
- Menghormati prinsip non-refoulement undang-undang antarabangsa;
- Menghantar kapal untuk mencari dan menyelamatkan pelarian Rohingya yang berada di laut, dan membolehkan ketibaan mereka secara selamat
- Meratifikasi Konvensyen PBB mengenai Status Pelarian dan Konvensyen PBB mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka.
6. MELINDUNGI HAK INDIVIDU LGBTI
Diskriminasi terhadap orang LGBTI (lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks) di Malaysia berterusan dalam undang-undang dan juga dalam amalan. Hubungan sesama jenis secara konsensual merupakan jenayah, dan kaum transgender menghadapi tentangan besar dalam bentuk undang-undang dan dasar yang bersifat diskriminasi, serbuan atas perhimpunan peribadi, penangkapan, dan layanan buruk oleh pihak berkuasa. Pada bulan September 2018, dua wanita dirotan secara terbuka atas kesalahan “percubaan persetubuhan,” dan pada bulan November 2019, lima lelaki dijatuhi hukuman penjara dan hukuman sebat kerana kesalahan serupa. Aktivis masih menghadapi gangguan dan intimidasi dari pihak berkuasa dan orang awam, tanpa perlindungan di bawah undang-undang.
Cadangan Amnesty International:
- Menghapuskan undang-undang yang menjenayahkan kelakuan seksual sesama jenis yang konsensual dan undang-undang yang menjenayahkan identiti dan ekspresi jantina tertentu, termasuk undang-undang yang melarang seorang lelaki memakai pakaian wanita atau berlagak sebagai seorang wanita dan sebaliknya;
- Memastikan pihak berkuasa tidak menafikan hak orang LGBTI melalui penangkapan, penahanan, penggunaan kekerasan, layanan buruk, ketidakhormatan kesulitan individu, dan diskriminasi;
- Hentikan penyebaran maklumat kepada orang ramai yang memperlekehkan atau mendiskriminasi orang LGBTI atau menggalakkan stereotaip gender yang berbahaya.
7. MENGIKTIRAF HAK ORANG ASLI/ASAL
Pada tahun 2015, selepas siasatan tiga tahun oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, SUHAKAM, kerajaan akur perlunya penambahbaikan dasar atas Orang Asal dan menerima 17 dari 18 cadangan dari pasukan petugas khas, termasuk pengiktirafan hak tanah Orang Asal dan pengeluaran hak milik, hak untuk mendapatkan pampasan, dan hak untuk membuat keputusan atas pembangunan tanah. Namun, sejak itu tidak ada bukti bahawa cadangan-cadangan tersebut telah dilaksanakan. Ini menyebabkan SUHAKAM membuat kesimpulan pada bulan April 2017 bahawa kerajaan telah gagal menjalankan tugasnya terhadap Orang Asal.
Pertembungan antara kerajaan dan masyarakat Orang Asal telah meningkat. Pada Januari 2017, berikutan tunjuk perasaan secara aman terhadap lesen pembalakan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan, 21 pembela hak asasi Orang Asli dari Gua Musang, Kelantan ditahan. Pada tahun 2020, kerajaan negeri Selangor mengambil langkah untuk mewartakan sebahagian dari hutan simpan yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli, yang mengakibatkan protes dari mereka.
Cadangan Amnesty International:
- Mengiktiraf, menghormati, melindungi dan memenuhi hak asasi semua Orang Asal, termasuk hak tanah, serta hak ekonomi, sosial dan budaya mereka termasuk hak untuk alam sekitar yang sihat dan hak mereka untuk menunjuk perasaan secara aman tanpa ditahan sewenang-wenangnya.
- Memastikan pelaksanaan penuh 18 saranan yang diterima oleh pasukan petugas khas, termasuk pengiktirafan hak Orang Asal ke atas tanah adat, dan hak untuk mendapatkan persetujuan yang bebas, terdahulu, dan berdasarkan maklumat tepat (free, prior and informed consent) yang selaras dengan undang-undang dan kepiawaian hak asasi manusia antarabangsa.
8. HORMATI KEBEBASAN BERAGAMA
Melainkan beberapa undang-undang yang menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam, perlembagaan Malaysia memperuntukkan kebebasan beragama di negara ini. Namun, dalam amalan, institusi memihak kepada agama Islam, yang diamalkan oleh lebih daripada 60% penduduk. Pengikut agama Islam yang lain, khususnya, dianggap “sesat” oleh pihak berkuasa, dan sering menghadapi tindakan undang-undang.
Setiap tahun pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas pengikut Syiah di seluruh negara kerana memperingati Ashura, yang merupakan hari suci Syiah. Pada tahun 2019, media melaporkan bahawa polis memberi layanan buruk terhadap mereka yang ditahan dalam satu serbuan di Johor, termasuk mengancam beberapa tahanan dengan pistol. Mereka kemudian dibebaskan.
Cadangan Amnesty International:
- Mengiktiraf, menghormati dan melindungi hak semua rakyat Malaysia untuk mengamalkan kepercayaan agama mereka sendiri. Ambil langkah yang berkesan untuk memastikan bahawa kumpulan agama dan minoriti lain tidak mengalami diskriminasi dan dilindungi dari serangan dan intimidasi
- Berhenti mendakwa individu atau organisasi kerana kepercayaan agama mereka, termasuk Ahmadiyah, Syiah dan lain-lain
- Meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)