Kerajaan baru Malaysia mesti meletakkan hak asasi manusia sebagai teras pembentukan dasar dan memperbetulkan penindasan yang telah mencemarkan permulaan pentadbiran Perikatan Nasional.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menegaskan komitmen kerajaan untuk menghormati, melindungi, dan mempromosikan hak asasi manusia dan juga memperkenalkan perubahan terhadap hak asasi manusia yang diseru oleh rakyat.
Oleh demikian, Amnesty International melancarkan 8 Titik Agenda Hak Asasi Manusia untuk kerajaan baru yang menyenaraikan bidang hak asasi manusia yang perlu diberi keutamaan, bersama dengan cadangan untuk melaksanakan perubahan ini. Preethi Bhardwaj, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia berkata:
“Walaupun perubahan berlaku di puncak pimpinan kerajaan, Malaysia harus kekal berusaha mencapai kemajuan dalam hak asasi manusia tidak kira siapa yang memerintah. Kami menggesa pentadbiran Perikatan Nasional untuk menggubal undang-undang dan membentuk dasar yang akan menghormati hak semua orang dan menyumbang kepada Malaysia yang lebih baik untuk semua pihak.
“Bidang utama yang kami menyeru kerajaan untuk menangani adalah:
- melindungi hak kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman;
- berusaha untuk menghapuskan hukuman mati;
- menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC);
- memastikan perlindungan golongan minoriti, termasuk pelarian, individu LGBTI dan Orang Asli dan;
- menghormati kebebasan beragama.”
Permulaan yang membimbangkan
Kerajaan Perikatan Nasional belum meyakinkan rakyat bahawa ia akan melindungi hak semua pihak.
Berikutan perlantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tunjuk perasaan aman dianjurkan untuk membantah cara pentadbiran baru dibentuk. Polis memanggil mereka yang terlibat untuk disoalsiasat, melanggar hak mereka untuk berhimpun secara aman.
Menjelang peningkatan kes COVID-19 pada bulan Mac, begitu juga dengan bilangan pelanggaran hak asasi manusia. Walaupun Jabatan Imigresen memberi jaminan bahawa operasi tidak akan dilakukan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), serbuan dilakukan di kawasan yang diduduki pendatang dan pelarian seperti Selayang, Masjid Jamek, dan Petaling Jaya Old Town yang mengakibatkan tangkapan lelaki, wanita, dan kanak-kanak beramai-ramai. Lebih-lebih lagi, beberapa kapal yang membawa pelarian Rohingya telah diarahkan berpatah balik, manakala mereka yang dibenarkan berlabuh semuanya ditahan.
“Bulan-bulan awal pentadbiran Perikatan Nasional tidak mengurangkan keresahan mengenai keadaan hak asasi manusia di Malaysia. Kerajaan telah melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman melalui penggunaan undang-undang yang bersifat menindas seperti Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) dan Akta Hasutan untuk menghalang perbezaan pendapat yang aman. Kaum pelarian dan migran yang tidak berdokumen telah menghadapi penganiayaan di tangan pihak berkuasa dan didedahkan kepada risiko dijangkiti COVID-19, yang melanggar hak kesihatan mereka.
Agenda untuk bertindak
Dalam Agenda Hak Asasi Manusia untuk kerajaan baru, Amnesty International menyeru semua pihak, Menteri dan Ahli Parlimen untuk menghormati, melindungi, memenuhi dan mempromosikan hak asasi manusia untuk semua, dan memberi komitmen secara terbuka untuk memenuhi kewajipan antarabangsa terhadap hak asasi manusia.
“Sidang parlimen bulan Julai merupakan peluang untuk kerajaan mengubah pendekatan terhadap hak asasi manusia yang kini membimbangkan. Agenda kami menetapkan cadangan yang, jika dilaksanakan, akan memperbaiki keadaan di Malaysia. Kerajaan harus mempertimbangkan semula reformasi terhadap hak asasi manusia yang terjejas oleh perkembangan politik dan COVID-19, terutamanya dengan meminda undang-undang yang menindas, menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), dan mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan hukuman mati.
Kami menggesa kerajaan untuk bekerja dengan badan-badan bukan kerajaan untuk meneruskan pengukuhan hak asasi manusia di Malaysia. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak dan kerajaan untuk melaksanakan saranan yang disenaraikan dalam Agenda kami, ” kata Bhardwaj.
Latar belakang
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Februari 2020 berikutan ketidaktentuan politik setelah Perdana Menteri sebelumnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan.
Sejak pertukaran kerajaan, hak asasi manusia di Malaysia semakin cemas. Khususnya, kerajaan gagal menghormati dan melindungi hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman. Pelarian dan pekerja migran serta masyarakat Orang Asli juga mengalami pelanggaran hak mereka. Kerajaan baru harus memberi komitmen untuk menghormati hak asasi di Malaysia dan mengambil tindakan secepat mungkin untuk menangani masalah-masalah, termasuk yang disenaraikan dalam Agenda ini.