Dengan penapisan meningkat di Malaysia, Amnesty melancarkan kempen “Unsilenced”

Penapisan semakin meningkat di Malaysia, sementara usaha untuk mereformasi undang-undang yang menyekat hak kebebasan berekspresi telah terhenti, kata Amnesty International Malaysia ketika melancarkan kempen Unsilenced. Dengan galeri catatan, penerbitan dan budaya popular di atas talian yang telah dilarang dan ditapis selama bertahun-tahun di Malaysia, Unsilenced bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesan negatif penapisan terhadap masyarakat Malaysia, menyoroti contoh serangan terhadap mereka yang lantang bersuara dan menyatakan pandangan, dan memberi inspirasi kepada setiap orang untuk mempertahankan hak kebebasan bersuara. 

“Serangan ke atas hak kebebasan bersuara kian meningkat di Malaysia. Undang-undang yang menindas masih wujud, dan semakin ramai orang yang disiasat polis hanya kerana menyatakan pandangan mereka,” kata Katrina Jorene Maliamauv, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia. 

“Kempen Unsilenced ini memberi peluang kepada orang ramai untuk bertindak dan menuntut kerajaan untuk memansuhkan undang-undang yang menafikan orang di Malaysia hak untuk bersuara dengan bebas, iaitu Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), Akta Penapisan Filem dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.” 

Selepas berlaku pertukaran kerajaan, dua undang-undang yang paling banyak digunakan untuk menyekat hak kebebasan bersuara iaitu Akta Hasutan dan Seksyen 233 CMA, sering digunakan terhadap pembela hak asasi manusia, wartawan dan pengguna media sosial yang mengkritik pemerintah, kerabat diraja atau agama. Minoriti seksual juga menjadi sasaran sekatan kerajaan. 

Pada bulan Mei, Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin mendedahkan bahawa kerajaan telah memulakan 262 siasatan hasutan pada tahun 2020, peningkatan yang dramatik dari 78 penyiasatan yang dimulakan pada tahun 2019, dan lebih dari dua kali ganda dari 31 dari tahun 2018. Selain itu, sejak awal Wabak COVID-19, terdapat 273 penyiasatan yang berkaitan dengan tuduhan berkongsi maklumat palsu di bawah Seksyen 500 dan 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA). Pada bulan Ogos, Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah mempertahankan Akta Hasutan di Parlimen, mengatakan ia masih relevan. 

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah, untuk separuh pertama tahun 2020, terdapat 143 siasatan di bawah Seksyen 233 CMA, dengan tujuh kes dibawa ke mahkamah. Sebagai perbandingan, dari awal 2018 hingga Februari 2019, 47 siasatan telah dibuka. Beliau menulis tweet bahawa kementeriannya sedang “meneliti” Seksyen 233 CMA tetapi setakat ini tidak ada petunjuk mengenai langkah-langkah konkrit untuk mereformasi undang-undang tersebut atau yang lain yang secara tidak langsung menyekat hak kebebasan bersuara. 

“Cadangan baru-baru ini untuk menghidupkan kembali undang-undang Anti Berita Palsu dan ‘unit propaganda’ di Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan nama baru menimbulkan kekhuatiran lebih lanjut bahawa negara sedang meluncur kembali ke era ketakutan dan penindasan,” kata Katrina. 

Masa untuk orang di Malaysia di-Unsilenced 

Amnesty International Malaysia akan melancarkan Unsilenced, sebuah kempen bertujuan menuntut kembali hak kebebasan bersuara di negara ini. Dengan sokongan aktivis-aktivis dan personaliti popular, kempen ini akan berlangsung merentas media dan media sosial. Galeri item yang telah ditapis dan dilarang di Malaysia selama bertahun-tahun akan mengingatkan masyarakat di Malaysia tentang sejarah panjang penapisan dan bagaimana undang-undang yang menindas sekian lama digunakan untuk mengekang hak kebebasan bersuara dan mengawal budaya popular, sebagai contoh: 

  • Komedi gelap Martin Scorsese, Wolf of Wall Street tahun 2013 walaupun dibiayai secara tidak langsung oleh rakyat Malaysia melalui dana 1MDB, ironiknya dilarang tayang di negara ini kerana mengandungi penggunaan “bahasa tidak senonoh” dan gambaran seks dan penggunaan dadah. 
  • Mural Ernest Zacharevic pada tahun 2013 di Johor Bahru yang menggambarkan dua patung Lego — satu perompak dan yang satu lagi membawa beg tangan berjenama ditutup dengan lapisan cat oleh majlis bandaraya yang tidak merasakan bahawa ia suatu perkara yang lucu untuk menonjolkan kadar jenayah yang tinggi di bandar tersebut. 
  • Pada tahun 2018, potret aktivis LGBT diperintahkan untuk diturunkan di pameran seni, kerana menurut seorang menteri kerajaan, “LGBT masih tidak dapat diterima dan tidak boleh dipromosikan.” 

“Dari muzik yang kita dengarkan, filem yang kita tonton, buku yang kita baca, hingga konten yang kita hasilkan dalam talian, kempen Unsilenced akan menyoroti sejauh mana pihak berkuasa telah mengawal pendapat dan idea yang dibenarkan orang untuk dicari dan dikongsi di Malaysia,” kata Katrina. 

Organisasi ini juga bekerjasama dengan suara-suara popular untuk memberi kesedaran tentang cara-cara berbahaya di mana undang-undang digunakan secara tidak wajar untuk menyekat hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia. 

Ketika tindakan keras terhadap kebebasan berekspresi meningkat, tiada kemajuan di dalam usaha untuk memansuhkan undang-undang yang digunakan sewenang-wenangnya untuk menyekat hak ini. 

Sebaliknya, dengan kekuatan yang luas dan sifat sewenang-wenangnya, Akta Hasutan, Seksyen 233 dan peruntukannya yang berbeza dari Kanun Keseksaan telah sengaja digunakan untuk membatasi dan menapis kritikan terhadap mereka yang berkuasa. Undang-undang tersebut tidak mematuhi undang-undang dan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, dan melanggar hak kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman, yang termaktub dalam Artikel 19 dan 21 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), dan juga dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Amnesty International Malaysia mendesak pihak berkuasa untuk memastikan Akta Hasutan dihapuskan dan undang-undang serupa yang melanggar hak kebebasan bersuara, termasuk Seksyen 233 CMA, dan lain-lain peruntukan Kanun Keseksaan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Penapisan Filem dimansuhkan atau diubah secara bermakna. Organisasi ini juga meminta kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Hak Sivil dan Politik dan instrumen hak asasi manusia lainnya, untuk mendekatkan Malaysia kepada pematuhan standard antarabangsa. 

“Sepanjang sejarah negara kita, mereka yang berkuasa sering berusaha untuk mengganggu dan menakut-nakutkan pembela hak asasi manusia, untuk menyekat perbezaan pendapat, menyekat pemikiran kritis, mencekik media dan membuat rakyat Malaysia berada dalam suasana ketakutan,” kata Katrina Jorene Maliamauv. 

“Semua individu di Malaysia berhak untuk menikmati hak untuk berfikir, merasa, mencipta, berkongsi, mencari dan mengekspresi diri secara bebas. Kami telah berulang kali berjuang melawan penindasan dan menemui cara untuk terus bersuara dan mengekspresi diri; kita mesti terus menuntut hak kita untuk tidak berdiam diri.” 

Ziarahi http://unsilenced.amnesty.my untuk Unsilenced  

Lampiran: Gambaran pelanggaran kebebasan bersuara pada tahun 2020 

4 Mac: Sekurang-kurangnya 20 aktivis disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman berikutan pertukaran kerajaan kerana mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan secara aman. Mereka yang disoal siasat termasuk pembela hak asasi manusia, Ambiga Sreenevasan dan Thomas Fann, ketua kumpulan reformasi pilihan raya Bersih. Pembela hak asasi manusia, Fadiah Nadwa Fikri, yang telah disiasat di bawah Akta Hasutan beberapa hari sebelumnya untuk siaran media sosial yang menyeru orang ramai untuk menyertai tunjuk perasaan, juga disoal siasat oleh polis. 

27 Mac: Penjaga kedai berusia 20 tahun, Nurshahira Mohd Mizuar didenda RM10,000 dan dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan kerana komen beliau di Facebook, yang didakwa menghina polis setelah pegawai mengarahkannya pulang ke rumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hukuman beliau kemudiannya ditangguhkan. 

4 Mei: Tashny Sukumaran, seorang wartawan dari South China Morning Post, disoal siasat selama dua jam di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 CMA berhubung tweetnya yang meliputi serbuan imigresen di Kuala Lumpur. 

8 Mei: Pemilik perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail didakwa di bawah Seksyen 233 CMA dan Kanun Keseksaan kerana kenyataan media sosial yang dibuatnya mengecam tindakan yang diambil kerajaan terhadap mereka yang melanggar perintah berkurung. 

20 Mei: Anggota Parlimen Xavier Jayakumar disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengkritik tindakan kerajaan untuk membataskan sesi Parlimen kepada satu hari. 

10 Jun: Pengarah dan pengasas Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, disoal siasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 CMA kerana satu kenyataan beliau yang mengkritik cara kerajaan semasa dibentuk. Polis turut menyoal siasat Ahli Parlimen Sivarasa Rasiah mengenai kenyataan yang dibuatnya pada bulan November mengenai penangkapan beberapa orang yang didakwa penyokong kumpulan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE). 

14 Jun: Personaliti radio Patrick Teoh didakwa di bawah Seksyen 233 CMA kerana posting di laman Facebook beliau yang didakwa menghina Tunku Mahkota Johor. 

9 Jun: Blogger Dian Abdullah didakwa mengikut Seksyen 233 CMA dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan setelah beliau menyiarkan komen yang kritikal terhadap Perdana Menteri dan Agong. Beliau berhadapan dengan hukuman penjara hingga tiga tahun. 

3 Julai: Tujuh anggota agensi berita antarabangsa Al Jazeera disiasat oleh polis berikutan laporan mengenai layanan yang diberi migran di bawah perintah berkurung COVID-19. Lima daripada mereka diberi masa 30 hari untuk meninggalkan negara ini dan telah menghadapi kesukaran untuk memperbaharui permit kerja sejak itu. Selanjutnya, pihak berkuasa melancarkan perburuan untuk Rayhan Kabir, seorang pekerja migran yang dinyatakan dalam laporan itu, sebelum menangkap, menahan dan mengusirnya. 

7 Julai: Heidy Quah, pengasas NGO Refuge for Refugees, disoal oleh polis kerana posting beliau di Facebook menyoroti keadaan di pusat tahanan imigresen. Quah menerima beberapa ancaman dalam halaman Facebook beliau berikutan kejadian tersebut namun tiada siasatan dibuat terhadap mereka yang mengancamnya. Sebelumnya, aktivis hak asasi manusia Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi turut menerima ancaman di media sosial setelah beliau mengkritik perlakuan kerajaan terhadap pelarian Rohingya tetapi tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap ancaman ini. 

13 Julai: Ketua pengarang Malaysiakini, Steven Gan didakwa menghina mahkamah berdasarkan lima komen yang disiarkan oleh pembaca di laman web berita yang didakwa mengkritik kehakiman Malaysia. Kerajaan berpendapat bahawa di bawah Seksyen 114A Akta Keterangan, agensi berita boleh dipertanggungjawabkan untuk komen yang disiarkan oleh orang lain di laman web mereka kerana dianggap mereka telah menerbitkan komen itu sendiri. 

5 November: Polis menyiasat organisasi mahasiswa, University of Malaya Association of New Youth (UMANY) setelah menyiarkan artikel di media sosial yang mengulas tentang peranan Agong dalam pemerintahan berperlembagaan. Sembilan pelajar disoal siasat, sementara aktivis Wong Yan Ke didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana merakam seorang polis yang melakukan operasi serbuan di rumah pemimpin UMANY.