Amnesty International Malaysia amat kecewa dengan tindakan kerajaan Malaysia yang bersama-sama dengan pihak tentera Myanmar merancang deportasi 1,200 rakyat negara tersebut pada 23 Februari 2021 akan datang. Apa jua usaha deportasi besar-besaran yang dijalankan tanpa ketelusan adalah melanggar kewajipan Malaysia untuk menghormati dan melindungi hak pendatang dan pelarian, dan berisiko membahayakan nyawa mereka. Tindakan keras yang dikenakan ke atas pihak penentang berikutan rampasan kuasa oleh pihak tentera Myanmar pada 1 Februari meletakkan nyawa mereka yang dijadualkan untuk dideportasi dalam bahaya dan mendedahkan mereka kepada risiko pelanggaran hak asasi manusia yang lebih buruk lagi.
“Pihak Imigresen Malaysia mendakwa bahawa ‘program penghantaran pulang’ tersebut tidak melibatkan pelarian atau pencari suaka, namun demikian, bagaimanakah penilaian tersebut dibuat sedangkan pihak PBB telah dihalang daripada mengakses orang dalam tahanan imigresen selama lebih satu setengah tahun?”, soal Katrina Jorene Maliamauv, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia. “Kerajaan Malaysia secara melulu menggugat nyawa lebih 1,000 orang rakyat Myanmar sekiranya mendeportasi mereka secara diam-diam ke negara yang ketika ini berada di tengah-tengah rampasan kuasa yang dicemari pelbagai bentuk pelanggaran hak asasi manusia.”
Kerajaan Malaysia tidak memberikan kebenaran kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mengakses pusat tahanan imigresen sejak Ogos 2019 lagi. Badan antarabangsa tersebut belum dapat melawat pusat tahanan untuk mengenal pasti pencari suaka dan pelarian, mahupun menguruskan pelepasan mereka, dan ini menyebabkan ramai masih menanti dalam kehampaan di dalam tahanan. Penahanan sewenang-wenangnya dan tidak terbatas yang dikenakan terhadap pendatang asing, pencari suaka dan pelarian melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Pihak Imigresen Malaysia mendakwa ‘program penghantaran pulang’ tersebut tidak melibatkan pelarian atau pencari suaka, namun demikian bagaimanakah penilaian tersebut dibuat sedangkan pihak PBB telah dihalang daripada mengakses orang dalam tahanan imigresen selama lebih satu setengah tahun?
Katrina Jorene Maliamauv, Amnesty International Malaysia
“Kerajaan Malaysia mesti memastikan terdapat jaminan keselamatan untuk mereka yang dihantar pulang,” kata Katrina. “UNHCR mesti segera diberikan akses penuh kepada 1,200 orang yang telah dijadualkan untuk dihantar pulang. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mesti mengarahkan Jabatan Imigresen untuk bekerjasama rapat dengan UNHCR dan memastikan tiada pencari suaka, pelarian atau sesiapa yang mungkin akan berhadapan dengan risiko pelanggaran hak asasi manusia dipaksa pulang ke Myanmar. Malaysia akan melanggar prinsip non-refoulement yang menjadi sebahagian daripada undang-undang lazim antarabangsa sekiranya hal ini tidak diendahkan.”
Usaha deportasi yang dirancang ini sekali lagi meletakkan dasar imigresen dan pelarian Malaysia di bawah perhatian. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) melaporkan pada 2018 bahawa situasi di dalam pusat tahanan imigresen sempit dan sesak, kotor, tidak diselenggarakan dengan baik, dan kekurangan kemudahan asas seperti air bersih dan makanan. Terdapat juga testimoni saksi berhubung penderaan fizikal terhadap tahanan. Pada Ogos 2020, kerajaan mengakui bahawa 23 tahanan, termasuk dua kanak-kanak, meninggal dunia di pusat tahanan imigresen pada separuh pertama tahun tersebut. Pada Oktober lalu, kerajaan mendedahkan bahawa 756 kanak-kanak sedang ditahan di pusat penahanan. Ini melanggar Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak (CRC), yang menghalang penahanan kanak-kanak untuk kesalahan imigresen.
“Memandangkan keadaan ngeri dalam tahanan, tidak hairanlah jika ada yang memutuskan bahawa pulang ke Myanmar adalah lebih baik biarpun mereka mungkin menghadapi risiko di sana”, jelas Katrina. “Namun demikian, adalah tidak munasabah sekiranya pilihan yang ada untuk mereka ini adalah antara penahanan yang tidak berpenghujung atau pulang ke negara asal dan berhadapan dengan risiko ancaman terhadap nyawa mereka. Menggunakan cara tidak langsung untuk menolak mereka dan membiarkan mereka berhadapan dengan situasi yang berbahaya setelah mereka berjaya menyeberang sempadan mencari keselamatan pada dasarnya adalah refoulement yang “konstruktif”.
Sepanjang tahun 2020, pegawai imigresen dan polis telah menjalankan serbuan terhadap komuniti orang asing di Malaysia, melanggar hak mereka dan menjejaskan usaha pencegahan COVID-19.
Selain itu, menurut UNHCR, setakat awal Disember 2020, 457 orang yang berdaftar dengan
organisasi tersebut ditahan dalam tahanan imigresen, termasuk 62 orang kanak-kanak yang tidak diiringi ataupun terpisah. Bilangan individu yang tidak berdaftar tetapi yang mungkin mempunyai tuntutan suaka pada masa ini tidak diketahui oleh UNHCR kerana mereka telah dinafikan akses ke pusat penahanan sejak Ogos 2019.
“Keadaan mereka yang berada dalam tahanan imigresen di Malaysia amat dahsyat. Selain memberikan UNHCR akses kepada mereka yang dijadualkan untuk dideportasi, kerajaan juga mesti memberikan akses penuh kepada semua orang yang kini berada di dalam fasiliti tahanan. Penahanan semata-mata untuk tujuan kawalan imigresen adalah tidak wajar. Kami menyeru pembebasan segera pelarian, pencari suaka dan pendatang asing yang ditahan atas sebab ini. Pelarian dan pencari suaka mesti diberikan perlindungan tambahan, termasuklah pengiktirafan hak mereka untuk mencari perlindungan antarabangsa”, tegas Katrina.
Latar Belakang
Kerajaan Malaysia mengesahkan rancangan deportasi 1,200 orang rakyat Myanmar dengan kapal tentera laut yang disediakan oleh tentera negara itu pada 23 Februari akan datang. Pada 15 Februari, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, deportasi akan melibatkan individu yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, termasuk kesalahan seperti tidak membawa dokumen pengenalan diri, pelanggaran izin tinggal kerana melebihi tempoh akhir visa (overstaying) dan penyalahgunaan pas lawatan.
Dalam laporan 17 Februari di Nikkei Asia, Jabatan Imigresen sekali lagi menyebut tentang rancangan deportasi tersebut. Laporan tersebut juga memetik sumber yang tidak dinamakan di jabatan itu yang mengakui bahawa, “adalah sukar untuk membezakan antara pendatang tanpa izin dengan pelarian yang telah kehilangan kad UNHCR mereka.”
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Lily di [email protected]