PDRM GAGAL UNTUK MELINDUNGI TAHANAN: MASYARAKAT SIVIL MENUNTUT AKAUNTIBILITI POLIS & IPCMC

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
1 JUN 2021

Memandang kes-kes salah laku polis baru-baru ini yang mengakibatkan kematian dalam tahanan Surendran, Ganapathy dan Sivabalan, masyarakat sivil meminta langkah segera diambil untuk memastikan insiden ini disiasat secara telus dan menghentikan berlakunya kes-kes seperti itu.

Kematian Ganapathy dan Sivabalan, di dalam tempoh satu bulan, di balai polis yang sama (IPD Gombak), adalah sangat membingungkan dan sama sekali tidak boleh diterima. Tapi ianya bukanlah fenomena baru. Nasib yang menimpa Surendran Ganapathy dan Sivabalan adalah satu bentuk kesinambungan corak kematian-kematian yang tidak sepatutnya berlaku di dalam tahanan. Mangsa-mangsa sebelum mereka, termasuk Kugan, N. Dharmendran, Syed Azlan, Kamarulnizam, Mohd Fadzrin, Cheah Chin Lee dan ramai lagi.

Kami juga ingin mengingatkan orang ramai tentang kes-kes salah guna kuasa baru-baru ini seperti ganguan seksual semasa sekatan jalanraya yang diketengahkan di dalam media pada awal tahun, respon dari pihak polis berkenaan perlecehan seksual ke atas Ain dan siasatan-siasatan keatas pengamal media dan wakil-wakil rakyat yang memberikan komen berkenaan kes salah guna kuasa polis. Walaupun terdapt kegusaran masyaratakat umum berkenaan polis, kerajaan amat perlahan, sekiranya ada, dalam mengambil tindakan. Kumpulan masyarakat sivil menyeru satu tindakan serta-merta daripada kerajaan, terutamanya Menteri Kementerian Dalam Negeri Hamzah Zainudin. Kami juga ingin menegaskan semula panggilan bagi penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) sesegera mungkin selepas parlimen kembali bersidang.

Kami, ahli Masyarakat Sivil Malaysia, menyeru langkah-langkah ini diambil serta-merta:

1) Melantik badan luar yang bebas untuk menyiasat kes-kes terbaru Kematian Dalam Tahanan

Menilai bahawa pihak polis tidak boleh, dengan efektif, menjalankan siasatan bebas ke atas badan dan anggota mereka sendiri–ianya juga sebab mengapa cadangan penubuhan IPCMC tercetus–kami mendesak langkah-langkah sesuai diambil untuk melantik badan luar yang telus dan bebas untuk menyiasat ketiga-tiga kematian di dalam tahanan baru-baru ini.

Kami menuntut Menteri Dalam Negeri melantik badan luar yang bebas untuk menjalankan siasatan menyeluruh. Ini termasuk mengumpul maklumat salah laku, prosedur penahanan, dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul di dalam pusat tahanan seperti yang termaktub di dalam Peraturan Lokap 1953 dan Kanun Prosedur Jenayah (KPJ). Dalam mengangkat prinsip ketelusan, dapatan siasatan seharusnya didedahkan sepenuhnya sebagai perkara yang menyentuh kepentingan awam

2) Menubuhkan unit kesihatan di semua pusat tahanan

Kesejahteraan dan kebajikan kesemua tahanan adalah tanggungjawab pihak berkuasa yang menahan mereka seperti di dalam undang-undang domestik dan antarabangsa. Seksyen 10 Peraturan Lokap 1953 menetapkan seorang pegawai perubatan untuk menjalankan pemeriksaan bagi setiap orang yang dimasukkan ke pusat tahanan, untuk memastikan mereka sesuai untuk ditahan. Kami menuntut Kerajaan Malaysia menyusun rancangan segera untuk menubuhkan unit kesihatan di semua lokap dan pusat tahanan bagi memastikan bahagian undang-undang ini dipatuhi. Ini memenuhi tanggungjawab negara dalam memastikan kesemua tahanan dirawat dengan maruah dan kemanusiaan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan 30 United Nation Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoner, juga dikenali sebagai Peraturan Nelson Mandela dan Prinsip 24 Body Principles for the Protection of All Person under Any Form of Detention or Imprisonment.

Kami menyedari tentang usaha semasa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang berkerjasama dengan PDRM untuk menubuhkan unit kesihatan di lokap Bayan Baru di Pulau Pinang dan Indera Mahkota di Pahang, yang mana akan dikembangkan ke lokap-lokap lain di Selangor, Kuala Lumpur, dan Sabah dalam tempoh masa enam bulan. Kami menuntut kerajaan agar tidak melengahkan dan mempercepatkan perlaksanaan saranan oleh SUHAKAM ini untuk menubuhkan sebanyak mungkin unit kesihatan di seluruh Malaysia bagi menghentikan kematian akibat masalah kesihatan.

3) Menjalankan inkues bagi kes kematian dalam tahanan sesuai dengan Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593)

Seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) dengan jelas menetapkan kewajipan menjalankan prosiding inkues bagi semua kematian yang berlaku di dalam tahanan polis. Namun, berdasarkan pemerhatian badan bukan kerajaan (NGO) dan SUHAKAM, prosiding inkues hanya dijalankan ke atas sebahagian kecil kematian di dalam tahanan polis. Ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman negara gagal menegakkan undang-undang seperti yang dinyatakan di dalam statut.

Kami juga menuntut agar pindaan dilakukan ke atas Seksyen 334 KPJ supaya turut menyertakan pusat tahanan Imigresen dan Kastam. Pindaan ini adalah bagi memastikan hak asasi semua tahanan dan mengelakkan ada kematian di dalam tahanan berlaku tanpa apa-apa tindakan.

4) Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC)

IPCMC, sejak mula dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Diraja untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005, telah menemui jalan yang sukar untuk dilaksanakan. Begitu banyak sesi libat urus dan kajian telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan kini Perikatan Nasional, yang mana kesemuanya gagal untuk menubuhkan suruhanjaya ini. Kami menyeru semua anggota legislatif, terutama dari Perikatan Nasional, untuk menghentikan kemunafikan mereka dan mengambil langkah serius untuk meluluskan rang undang-undang IPCMC di Parlimen.

Kami juga ingin menegaskan bahawa perlaksanaan IPCMC haruslah selari dengan cadangan-cadangan oleh anggota masyarakat sivil (CSO) dan standard antarabangsa berhubung dengan sikap tidak berat sebelah dan kebebasan. Cadangan-cadangan ini termasuk:

  • Kuasa untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti;
  • Akses ke pusat tahana atau tempat di mana berlaku kematian dan salah guna kuasa, dan;
  • Keupayaan untuk melaksanakan syor untuk menuduh dan mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang didapati bertanggungjawab dan melakukan kesalahan.

Tanpa elemen-elemen ini, suruhanjaya tersebut akan menjadi tidak berkesan. Ia akan mengalami nasib yang sama dengan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang dikritik kerana tidak dapat melaksanakan syornya.

Seruan untuk Bertindak

Kami, ahli-ahli masyarakat sivil Malaysia, menyeru kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri untuk menerima pakai empat cadangan ini dengan serta-merta untuk menangani kesangsian semasa masyarakat umum dan keraguan terhadap agensi penguatkuasaan terbesar kita, PDRM. Pihak polis tidak boleh bertindak secara sewenang-wenangnya dan tidak boleh menyiasat badan mereka sendiri, ini terbukti dengan kematian dalam tahanan yang berterusan dan pencabulan-pencabulan hak asasi manusia lain. Komitmen ini sangat penting, kerana integriti PDRM sedang dipersoalkan.

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap standard kepolisan negara yang berada pada tahap yang paling teruk dan mengerikan dengan menyokong kempen untuk mewujudkan IPCMC. Semua orang boleh mengambil bahagian dalam kempen ini dengan berkongsi bahan-bahan kempen kami dan menggunakan hashtag kempen #PDRMGagal dan #IPCMCNow di dalam posting media sosial mereka. Seperti di banyak negara, kita boleh mencapai akauntabiliti polis dengan sokongan dan solidariti daripada semua rakyat Malaysia. Anda boleh menjadi sebahagian daripada perubahan ini dengan menguatkan panggilan dan seruan untuk IPCMC.

TANDATANGAN PETISYEN UNTUK HENTIKAN KEMATIAN DALAM TAHANAN SEKARANG

Kenyataan ini turut disokong oleh:

Organisasi

  1. Advancing Knowledge in Democracy and Law Initiative
  2. Agora Society
  3. Aliran
  4. All Women’s Action Society (AWAM)
  5. Amnesty International Malaysia
  6. Ashuvynni Silver Raju
  7. Centre for Independent Journalism (CIJ)
  8. Demokrat Kebangsaan
  9. Freedom Film Network (FFN)
  10. International Youth Network for the Prevention of Atrocity Crimes
  11. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
  12. justice for sisters
  13. Lawyer Kamek for Change (LK4C)
  14. Malaysian Action for Justice and Unity (MAJU)
  15. Movement for Change, Sarawak (MoCS)
  16. Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)
  17. NESA
  18. Our Journey
  19. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
  20. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  21. PLUHO, People Like Us Hang Out
  22. Prison Fellowship Malaysia
  23. Prison Fellowship Malaysia Sabah
  24. Proham
  25. Projek Pertiwi
  26. Research for Social Advancement
  27. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
  28. Sebaran Kasih Malaysia
  29. Siti Kasim & Associates
  30. Student Progressive Front UUM
  31. SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)
  32. Tenaganita
  33. UMANY

Individu

  1. Anthony Chong
  2. Melody Woon
  3. Nathaniel Tan
  4. Nicole Fong
  5. Sangeeth Kaur
  6. Sherilyn Pang