Malaysia: Tamatkan penghalangan terhadap perhimpunan aman, mengembalikan hak asasi manusia

PETIKAN MEDIA

Amnesty International Malaysia

20 Ogos 2021


Sebagai respon terhadap kejadian penahanan 31 peserta majlis perintagan mangsa COVID-19 di Dataran Merdeka semalam, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv berkata:

“Penahanan para peserta majlis berkabung untuk mangsa COVID-19 malam tadi merupakan penyalahgunaan kuasa yang terbaru oleh pihak berkuasa. Dalam beberapa bulan terakhir, kami telah melihat tindakan keras yang membimbangkan terhadap mereka yang melaksanakan hak untuk bebas bersuara dan berhimpun.

Alasan pihak polis bahawa peserta majlis tidak ditahan tetapi hanya dibawa ke balai untuk “didokumentasi,” adalah tidak munasabah apabila video mereka diheret secara paksa ke dalam trak polis jelas membuktikan sebaliknya.

Polis juga gagal memberi akses segera ke peguam kepada mereka yang ditahan. Hal ini merupakan pelanggaran hak yang dijamin oleh Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan prinsip asas undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

Pandemik COVID-19 tidak patut disalahgunakan sebagai alasan untuk menghalang perhimpunan aman, khususnya apabila peraturan kesihatan awam tidak dikuatkuasakan secara konsisten.

Kami menyeru supaya penghalangan terhadap perhimpunan aman ditamatkan. Kami juga mendesak supaya kompaun RM2,000 yang dikeluarkan bagi setiap peserta dibatalkan dan siasatan lebih lanjut di bawah Akta Perhimpunan Aman dan undang-undang lain digugurkan. Suara orang di Malaysia tidak boleh didiamkan.”

Untuk pertanyaan lebih lanjut, sila hubungi Brian Yap di [email protected]