Malaysia: Proses semakan semula hukuman mati perlu adil dan bermakna  

Kenyataan Media  

19 Jun 2023  

Kerajaan Malaysia mengumumkan dua undang-undang dalam warta rasmi pada 16 Jun 2023 yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan mewujudkan prosedur semakan semula bagi mereka yang sudah pun dijatuhkanhukuman mati dan hukuman penjara seumur hidup. Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan untuk menegakkan semua jaminan perbicaraan adil dan perlindungan antarabangsa dengan tegas dalam proses semakan hukuman yang akan datang, terutamanya dengan memberikan penjelasan mengenai prosedur tersebut secepat mungkin sebelum undang-undang berkuat kuasa.  

Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 mendapat perkenan diraja pada 9 Jun dan kemudiannya disiarkan dalam Warta Persekutuan pada 16 Jun. Undang-undang ini akan berkuat kuasa pada tarikh yang akan ditentukan oleh Menteri Undang-undang kelak. Tempoh 90 hari akan diberikan kepada individu yang telah menerima hukuman mati atau pemenjaraan sepanjang hayat untuk memohon semakan semula hukuman. Bagi individu-individu yang masih berada dalam peringkat perbicaraan atau rayuan, mereka berpeluang meminta peringanan hukuman dalam proses mahkamah seperti biasa.  

“Adalah amat penting untuk prosedur semakan semula hukuman dan kuasa budi bicara hakim jelas dan terperinci. Banduan hukuman mati dan keluarga mereka yang sudah pastinya berada dalam keadaan cemas diburukkan lagi dengan ketiadaan maklumat terkini,” tegas Katrina Jorene Maliamauv, pengarah eksekutif Amnesty International Malaysia.  

Amnesty International Malaysia bimbang bahawa prosedur yang tidak ditakrifkan dengan jelas dalam undang-undang, ditambah dengan kekangan sumber sistem keadilan jenayah, boleh membawa kepada proses semakan semula hukuman yang penuh dengan pelanggaran hak untuk perbicaraan yang adil, dan gagal mencapai matlamat untuk memberikan semakan yang adil dan bermakna terhadap hukuman mati.  

“Bagi ratusan individu yang dihukum mati, prosedur semakan semula hukuman adalah peluang terakhir mereka untuk hidup. Kerajaan Malaysia harus memastikan bahawa ia mematuhi piawaian antarabangsa untuk perbicaraan adil dan perlindungan prosedur sewajarnya.” Katrina Jorene Maliamauv menambah, “Kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan proses kehakiman sebagai perlindungan yang bermakna terhadap kehilangan nyawa secara sewenang-wenangnya, serta seterusnya menghukum mereka yang telah pun menghadapi risiko lebih besar untuk hukuman mati, termasuk disebabkan oleh latar belakang sosioekonomi terpinggir atau sebagai warganegara asing.  

Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan untuk menjamin bahawa individu yang meminta semakan semula hukuman diberi masa dan akses kepada pembiayaan, kemudahan, dan bantuan penterjemahan yang mencukupi sebagai persediaan menghadapi perbicaraan. Tambahan pula, mereka mesti diberi akses awal kepada penasihat undang-undang yang efektifkompeten dan boleh mengakses dengan cepat kedua-dua rekod lama dan baharu untuk mengemukakan bukti berkaitan yang boleh menjadi faktor mitigasi dalam kes mereka. Pihak berkuasa mesti menjamin hak untuk merayu keputusan penghakiman, hak untuk pemberitahuan awal tentang bila permintaan hukuman semula akan diambil kira, dan hak untuk mengetahui keputusan prosiding.  

Di samping itu, organisasi kami menggalakkan pihak berkuasa untuk melaporkan secara berkala kepada parlimen mengenai pelaksanaan semakan supaya sebarang isu sistemik yang timbul daripada proses tersebut dapat dinilai dan ditangani dengan segera, termasuklah dengan mengemukakan perundangan selanjutnya sekiranya perlu.  

Amnesty International Malaysia juga menggesa agar moratorium hukuman mati yang telah dilaksanakan sejak 2018, dikekalkan sehingga hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya dan semua hukuman mati sedia ada diringankan. Hukuman sebat dengan rotan juga harus dimansuhkan. Ini merupakan layanan dan hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan merendahkan martabat serta dilarang oleh undang-undang antarabangsa.  

“Pemansuhan hukuman mati mandatori adalah pencapaian penting, tetapi ia tidak patut berakhir di situ. Malaysia boleh dan mesti bertindak cepat untuk menamatkan hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghinakan ini untuk selamanya,” tambah Katrina Jorene Maliamauv.  

  

Latar belakang  

Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 3 April dan diluluskan oleh Dewan Negara pada 11 April.  

Selain memansuhkan hukuman mati mandatori dan memperkenalkan hukuman mengikut budi bicara untuk semua jenayah yang berkenaan, ia telah memansuhkan hukuman mati sepenuhnya untuk tujuh jenayah.  

Walaupun terdapat moratorium rasmi terhadap pelaksanaan hukuman mati sejak Julai 2018, mahkamah Malaysia terus menjatuhkan sejumlah besar hukuman mati.  

Amnesty International menentang hukuman mati dalam semua kes tanpa pengecualian, tanpa mengira jenis atau keadaan jenayah, rasa bersalah, tidak bersalah atau ciri lain pesalah, atau cara negara melaksanakan hukuman mati.  

  

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi: [email protected]