Petikan Media
27 Jun 2024
Amnesty International Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penahanan pengasas Borneo Komrad dan pembela hak asasi manusia, Mukmin Nantang, di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan. Mukmin, yang mendedahkan pengusiran masyarakat tanpa kerakyatan, Orang Asal Bajau Laut, yang berlaku di Semporna, Sabah awal bulan ini, telah dipanggil untuk siasatan di ibu pejabat polis daerah Semporna awal hari ini dan kemudiannya ditahan.
“Penangkapan Mukmin kerana mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia adalah melampaui batas. Kerajaan mempunyai kewajipan untuk melindungi pembela hak asasi manusia, bukan menangkap dan cuba untuk menakut-nakutkan. Tambahan pula, penggunaan Akta Hasutan untuk menyenyapkan suara pembela hak asasi manusia adalah satu pencabulan hak kebebasan bersuara yang jelas. Akta Hasutan yang menindas tidak ada tempat di Malaysia dan bertentangan dengan komitmen pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri untuk memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara,” kata Katrina Jorene Maliamauv, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia.
“Kerajaan negeri Sabah mesti menghentikan tindakan keras terhadap pembela hak asasi manusia, termasuk Mukmin Nantang, dan orang Bajau Laut. Pihak berkuasa harus menamatkan pengusiran orang Bajau Laut, menangani pelanggaran hak asasi manusia, dan tidak menghukum mereka yang mendedahkan apa yang sedang berlaku,” kata Katrina.
Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan agar menghentikan segera siasatan hasutan terhadap Mukmin yang dibebaskan dengan ikat jamin awal hari ini. Kami menyeru pihak berkuasa untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan sementara menunggu pemansuhannya, memastikan tiada orang lain ditangkap, disiasat, didakwa atau dipenjarakan kerana melaksanakan hak asasi manusia secara aman.
Pihak berkuasa juga mesti memenuhi kewajipan negara untuk melindungi, menghormati, dan menegakkan hak dan maruah orang tanpa kerakyatan dan Orang Asli – termasuk orang Bajau Laut. Amnesty International Malaysia mengingatkan kerajaan Madani tentang kewajipannya di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa untuk melindungi ruang sivik dan memastikan pembela hak asasi manusia dapat melakukan kerja mereka tanpa intimidasi dan rasa takut.
Latar Belakang
Pada 27 Jun, Mukmin Nantang disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan di ibu pejabat polis daerah Semporna berhubung video yang menunjukkan perobohan rumah orang Bajau Laut. Beliau kemudiannya ditahan. Mukmin telah dibebaskan dengan ikat jamin tetapi masih menghadapi pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana aktivisme beliau.
Perkara ini berlaku selepas lapan pelajar tanpa kerakyatan, Orang Asal Bajau Laut, tiga daripadanya adalah kanak-kanak, ditahan berikutan protes aman di luar pejabat Ketua Menteri Sabah pada 14 Jun, menggesa supaya akses kepada kemudahan air ditambah baik. Mereka dibebaskan selepas tujuh hari dalam tahanan. Mukmin Nantang, bersama Borneo Komrad, turut memainkan peranan penting dalam kempen pembebasan pelajar Bajau Laut yang ditahan.