Siaran Media
8 April 2025
Malaysia mencapai kemajuan yang ketara pada tahun 2024 dengan mengurangkan secara drastik jumlah banduan akhir susulan pemansuhan hukuman mati mandatori. Namun, pelaksanaan hukuman mati yang berterusan—termasuk bagi kesalahan berkaitan dadah—masih menjadi kebimbangan yang serius, kata Amnesty International Malaysia hari ini, ketika ia melancarkan laporan tahunannya mengenai penggunaan hukuman mati secara global, bertajuk Hukuman Mati dan Pelaksanaan Hukuman 2024 (‘Laporan’).
Menurut Laporan tersebut, jumlah pelaksanaan hukuman mati di peringkat global melonjak ke tahap tertinggi sejak 2015, dengan 1,518 pelaksanaan direkodkan di 15 negara tahun lepas. Pada masa yang sama, bilangan negara yang melaksanakan hukuman mati mencapai rekod terendah untuk tahun kedua berturut-turut—menunjukkan bagaimana sebahagian besar dunia telah menjauhi hukuman mati, manakala hanya segelintir negara yang terus menggunakan hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan ini.
Rantau Asia-Pasifik kekal sebagai rantau dengan jumlah pelaksanaan hukuman mati tertinggi di dunia, walaupun angka rasmi tidak merangkumi beribu-ribu hukuman mati yang dipercayai berlaku di China, Korea Utara dan Viet Nam—negara-negara yang terus menyelubungi penggunaan hukuman mati dengan berselindung di sebalik ‘rahsia negara’.
Di manakah kedudukan Malaysia di peringkat global?
Malaysia tidak melaksanakan hukuman mati sejak 2018, tetapi tanpa pemansuhan sepenuhnya, ia kekal dalam kalangan 54 negara yang masih mengekalkan penggunaannya—menghalangnya daripada menyertai majoriti global 145 negara yang telah memansuhkan hukuman mati sama ada dalam undang-undang atau amalan. Ia juga merupakan satu daripada hanya 13 negara yang diketahui telah menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah walaupun kesalahan berkaitan dadah tidak memenuhi ambang “jenayah paling serius” yang mana penggunaan hukuman mati mesti dihadkan di bawah undang-undang dan piawaian antarabangsa.
“Malaysia mesti memilih untuk mencatat sejarah yang boleh dibanggakan—dan ini bermakna mengambil langkah seterusnya ke arah pemansuhan sepenuhnya hukuman mati. Walaupun moratorium pelaksanaan hukuman mati sejak 2018 dan pemansuhan hukuman mati mandatori pada 2023 adalah langkah penting ke hadapan, hakikatnya hukuman mati masih tetap dijatuhkan—ia membimbangkan dengan 38% daripada hukuman mati yang baru dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah untuk kesalahan berkaitan dadah. Ini adalah tidak sah di sisi undang-undang dan piawaian antarabangsa. Perkata ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia dan pematuhan kepada piawaian hak asasi manusia antarabangsa.”
Vilasini Vijandran, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia.
Laporan Amnesty International mengiktiraf kemajuan Malaysia pada 2024, dengan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan meringankan lebih daripada 1,000 hukuman mati—melalui kedua-dua bidang kuasa sementara Mahkamah Persekutuan dan bidang kuasa biasa mahkamah Malaysia. Walau bagaimanapun, kemajuan ini telah terjejas oleh pelaksanaan hukuman mati baharu yang berterusan, dengan 24 hukuman mati baharu direkodkan di hadapan Mahkamah Tinggi dalam tahun yang sama (termasuk 9 bagi kesalahan berkaitan dadah).
Menjatuhkan Hukuman Mati bagi Kesalahan Berkaitan Dadah
Yang membimbangkan, semua hukuman mati baharu berkaitan dadah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi. Sebaliknya, tiada satu pun daripada 43 hukuman mati yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan berikutan semakan 860 permohonan di bawah Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan melibatkan kesalahan berkaitan dadah. Perbezaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kebergantungan berterusan terhadap hukuman mati oleh mahkamah rendah yang hanya boleh diselesaikan dengan pemansuhan sepenuhnya hukuman mati dalam undang-undang.
“Kemajuan Malaysia kekal tercemar selagi mahkamah terus menjatuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah—suatu tindakan yang melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Jika Malaysia serius untuk menjadi peneraju dalam reformasi hak asasi manusia di rantau ini, langkah seterusnya adalah jelas: mansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah sebagai langkah seterusnya ke arah pemansuhan sepenuhnya.”
Vilasini Vijandran
Langkah Seterusnya untuk Malaysia – Pembaharuan Dalam Negara Diperlukan untuk Memperkukuh Advokasi Luar Negara
Malaysia secara konsisten menyuarakan bantahan terhadap hukuman mati di pentas global, mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menggesa moratorium terhadap penggunaan hukuman mati dengan tujuan untuk memansuhkannya—termasuk pada Disember tahun lalu, apabila rekod dua pertiga negara anggota PBB menyokong resolusi tersebut. Namun, kedudukan ini dilemahkan oleh ketidakbertindakan di dalam negara. Walaupun kerajaan memberi isyarat sokongan untuk langkah-langkah menuju pemansuhan di peringkat antarabangsa, ia masih belum melaksanakan pembaharuan legislatif dan sistemik yang diperlukan untuk menyelaraskan undang-undang Malaysia dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Nasib lebih 140 banduan akhir di Malaysia masih tidak pasti. Sifat proses pengampunan yang legap dan rahsia hanya menambahkan kebimbangan, menyebabkan mereka yang dihukum mati—dan keluarga mereka—dalam keadaan kebimbangan dan ketidakpastian yang berpanjangan. Memandangkan Malaysia berada di persimpangan jalan yang penting, keperluan untuk tindakan tegas bagi meringankan hukuman mati mereka tidak pernah lebih mendesak.
Tambahan pula, rakyat Malaysia terus menghadapi hukuman mati di luar negara, termasuk di Singapura, dengan beberapa keluarga mereka yang mengeluh mengenai kurangnya campur tangan bermakna oleh kerajaan Malaysia.
“Jika Malaysia ingin menjadi suara yang boleh dipercayai dalam menentang hukuman mati—bukan hanya dalam forum diplomatik tetapi juga dalam amalan—ia mesti memimpin melalui teladan. Sebagai pengerusi ASEAN, memansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah akan menjadi duluan yang kuat di rantau ini. Ia juga akan mengukuhkan keupayaan Malaysia untuk menyokong rakyatnya sendiri yang berdepan dengan hukuman mati di luar negara sebaik sahaja komitmen dasar luarnya disokong oleh pembaharuan yang nyata dan berkekalan di negara sendiri.”
Vilasini Vijandran
Kini adalah masa untuk Malaysia mengambil langkah seterusnya yang telah lama tertangguh ke arah memansuhkan sepenuhnya hukuman mati; mansuhkan hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah—sebelum lebih banyak nyawa terkorban akibat hukuman yang tiada tempatnya dalam masyarakat yang adil dan berperikemanusiaan.
Untuk maklumat lanjut atau menjadualkan temu bual dengan jurucakap, sila hubungi Divya Shesshsan Balakrishnan di [email protected]