Kenyataan Media
29 Ogos 2026
Amnesty International Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan kerajaan yang mula melaksanakan perjanjian dengan pihak berkuasa Myanmar bagi memulangkan 5,000 pelarian Myanmar, bermula dengan pemulangan 1,476 orang yang majoritinya merupakan Rohingya pada 29 September 2026. Tindakan kerajaan Madani ini berlaku pada ketika konflik, pemindahan penduduk dan pencabulan hak asasi manusia yang serius masih berterusan di negara tersebut.
Hanya beberapa hari selepas ulang tahun kesembilan bermulanya kekejaman yang dilakukan terhadap Rohingya pada 25 Ogos 2017, Malaysia kini bersedia untuk menghantar pelarian Rohingya kembali ke sebuah negara di mana mereka berdepan risiko yang amat serius.
“Malaysia mesti segera menghentikan semua penghantaran pulang ke Myanmar yang boleh mendedahkan individu kepada penganiayaan, pencabulan hak asasi manusia yang serius atau sebarang bentuk kemudaratan lain yang tidak dapat dipulihkan. Situasi di Myanmar kekal tidak selamat secara asasnya, dan tiada jaminan daripada pihak berkuasa Myanmar mahupun Malaysia dapat mengubah hakikat tersebut,” kata jurucakap Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan Balakrishnan.
Myanmar Kekal Tidak Selamat
Kerajaan berulang kali menyifatkan pemulangan ini sebagai secara sukarela dan selamat, sedangkan krisis hak asasi manusia yang berterusan terus menimbulkan ancaman besar terhadap nyawa dan keselamatan rakyat Myanmar.
Dokumentasi berterusan oleh Amnesty International serta penilaian terkini oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia menunjukkan bahawa keadaan bagi penghantaran pelarian Rohingya yang selamat, bermaruah, mampan dan secara sukarela belum wujud di Negeri Rakhine pada masa ini. Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia telah menyeru kerajaan untuk melindungi individu yang melarikan diri daripada konflik di Myanmar melalui saluran perlindungan antarabangsa.
Pada 25 Ogos 2026, pejabat hak asasi manusia PBB menyatakan bahawa situasi hak asasi manusia di Myanmar telah merosot ke tahap baharu yang paling buruk sambil menekankan “penderaan kejam yang semakin memburuk” terhadap masyarakat minoriti Rohingya di Negeri Rakhine.
Hakikat bahawa orang ramai terus melarikan diri daripada konflik bersenjata, kekurangan ekonomi, kerahan tentera dan serangan udara tanpa henti terhadap orang awam di Myanmar seharusnya menjadi amaran terhadap sebarang rancangan penghantaran pulang.
“Prinsip non-refoulement tidak boleh dikompromi. Malaysia tidak boleh dengan hati nurani yang baik, mengabaikan konflik, penganiayaan dan risiko serius yang akan dihadapi oleh individu selepas mereka dipulangkan ke Myanmar,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Tindakan Malaysia Bercanggah dengan Dasar Malaysia terhadap Myanmar
Selama bertahun-tahun, Malaysia merupakan antara negara ASEAN yang paling lantang menggesa kebertanggungjawaban, tindakan kemanusiaan dan penyelesaian terhadap krisis di Myanmar. Malaysia berulang kali menyeru agar keganasan dihentikan, Konsensus Lima Perkara dilaksanakan serta dialog politik yang inklusif diadakan.
Namun, pendirian tersebut tidak dapat diselaraskan dengan rancangan untuk memulangkan pelarian Myanmar melalui kerjasama dengan pihak berkuasa Myanmar, sedangkan keadaan yang mendorong kepada pemindahan penduduk masih belum diselesaikan.
“Malaysia tidak boleh pada masa yang sama menyatakan bahawa Myanmar masih berada dalam krisis sambil bersedia untuk memulangkan pelarian. Malaysia telah bertahun-tahun bersuara mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar tetapi kredibiliti pendirian tersebut kini dikhianati oleh tindakannya sendiri,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Apakah Tujuan Sebenar Sistem Pelarian Malaysia?
Pengumuman tersebut turut menimbulkan kebimbangan serius mengenai hala tuju dasar pelarian Malaysia.
Selama berbulan-bulan, kerajaan berulang kali bercakap mengenai perlindungan, nilai kemanusiaan dan pembangunan rangka kerja pelarian kebangsaan. Namun, salah satu hasil utama yang muncul daripada proses tersebut kelihatan seperti pemulangan 1,476 pelarian ke sebuah negara yang masih berdepan konflik meluas dan pencabulan hak asasi manusia.
“Kekurangan ketelusan berhubung Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) menimbulkan kebimbangan serius mengenai bagaimana kuasa dilaksanakan terhadap kehidupan pelarian dan pencari suaka di Malaysia. Apabila keputusan yang memberi kesan terhadap perlindungan, penahanan dan kemungkinan pemulangan dibuat tanpa pengawasan, ketelusan atau kebertanggungjawaban yang mencukupi, risiko kemudaratan meningkat dengan ketara.”
Ujian terhadap Nilai-Nilai Malaysia
Ketika Malaysia bersedia untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-69, Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan untuk berhenti seketika dan merenung nilai-nilai yang ingin dijunjungnya.
Malaysia telah lama memiliki kebanggaan dengan sifat belas ihsan, kemanusiaan dan solidaritinya terhadap mereka yang berdepan konflik dan penganiayaan.
Malaysia seharusnya menggunakan pengaruhnya di rantau ini untuk menangani punca utama pemindahan penduduk serta menyokong perlindungan pelarian, dan bukannya meneruskan pemulangan ke keadaan yang masih tidak selamat.
“Dunia sedang memerhati dengan teliti. Cara kumpulan 5,000 pelarian ini dilayan bukan sahaja akan membentuk masa depan perlindungan pelarian di Malaysia malah akan menentukan sama ada Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang melindungi pelarian atau negara yang membelakangkan mereka yang memerlukan keselamatan,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Amnesty International Malaysia menyeru kerajaan untuk:
- Segera menghentikan semua pemulangan yang dirancang ke Myanmar yang akan mendedahkan pelarian dan pencari suaka kepada penganiayaan, pencabulan hak asasi manusia yang serius atau sebarang bentuk kemudaratan lain yang tidak dapat dipulihkan, serta menjunjung sepenuhnya prinsip non-refoulement;
- Mewujudkan pengawasan bebas, penelitian Parlimen yang lebih menyeluruh dan mekanisme kebertanggungjawaban yang telus bagi DPP serta rangka kerja pengurusan pelarian Malaysia yang lebih luas;
- Mengalihkan fokus dasar pelarian Malaysia daripada penghantaran pulanh kepada perlindungan, penyelesaian berasaskan hak serta akses yang bermakna kepada penjagaan kesihatan, pendidikan, mata pencarian dan perkhidmatan asas lain;
- Menggunakan pengaruh Malaysia dalam ASEAN untuk memajukan perlindungan, kebertanggungjawaban dan penyelesaian berkekalan bagi mereka yang dipindahkan akibat krisis di Myanmar, serta menentang sebarang pemulangan pramatang sehingga wujud sepenuhnya keadaan bagi pemulangan yang selamat, sukarela, bermaruah dan mampan; dan
Memberi komitmen terhadap pembaharuan undang-undang jangka panjang dengan meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967 serta menyelaraskan dasar pelarian Malaysia dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi [email protected]


