Amnesty International Malaysia
Siaran Media
29 April 2025
Serangan global terhadap hak asasi manusia semakin meningkat pada tahun 2024, dengan kerajaan di seluruh dunia bertindak keras terhadap kebebasan bersuara dan protes aman. Malaysia juga menyaksikan hakisan ruang sivik yang semakin mendalam, kata Amnesty International Malaysia hari ini ketika pelancaran Laporan Tahunan Keadaan Hak Asasi Manusia Sedunia.
Di seluruh dunia, laporan Amnesty International memberikan gambaran suram tentang autoritarianisme yang semakin mendalam dan penindasan yang semakin meningkat. Kerajaan yang berkuasa, termasuk ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terus menggugat ketenteraman antarabangsa—menghalang usaha untuk menegakkan keamanan, keadilan dan hak asasi manusia.
Laporan itu, yang meliputi 150 negara, menyoroti bagaimana perbezaan pendapat semakin dijenayahkan—melalui penapisan, penindasan, pengawasan besar-besaran dan keganasan. Di banyak negara, undang-undang dipersenjatai untuk melabelkan pengkritik termasuk pembela hak asasi manusia, wartawan, aktivis iklim, dan juga mereka yang memprotes genosid yang dilakukan oleh Israel di Gaza—sebagai “pelampau” atau “ancaman kepada keselamatan negara.”
Malaysia tidak terkecuali daripada trend global yang membimbangkan ini. Walaupun pengurangan bilangan orang yang dihukum mati menandakan satu langkah ke hadapan yang sudah lama tertunggak dan penting, ia dibayangi oleh regresi yang serius di tempat lain. Pada tahun 2024, kerajaan terus menindas kebebasan bersuara dan perhimpunan aman, di samping membelakangkan akauntabiliti polis, dan gagal menegakkan hak pencari suaka, pelarian dan migran.
Daripada Buruk kepada Lebih Buruk: Keadaan Kebebasan Bersuara di Malaysia
Berucap pada majlis pelancaran itu, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia, Vilasini Vijandran berkata, tindakan kerajaan Madani pada tahun 2024 bukan sahaja gagal untuk menterbalikkan sekatan berpanjangan terhadap kebebasan bersuara tetapi secara aktif meningkatkan ancaman terhadap hak tersebut.
Walaupun janji telah dibuat olehnya ketika pilihan raya umum, kerajaan masih belum memansuhkan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984—undang-undang yang terus digunakan sebagai alat penindasan.
Sebaliknya, akta-akta ini dipersenjatai terhadap artis, aktivis dan pengkritik politik, yang secara sistematik. Mereka terpaksa menghadapi gangguan, penahanan dan penyiasatan semata-mata kerana bersuara. Antaranya, pembela hak asasi manusia Mukmin Nantang telah disiasat di bawah Akta Hasutan selepas mempertahankan hak masyarakat Bajau Laut, manakala artis Fahmi Reza ditahan kerana karya seni satiranya yang menyasarkan seorang tokoh politik.
Kerajaan tidak menangani kebimbangan masyarakat sivil yang telah lama wujud, malah kerajaan dengan agresif membuat pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia, memperluaskan kuasanya untuk mengawal kandungan media sosial, dan memperkenalkan keperluan pelesenan sewenang-wenangnya untuk platform media sosial.
Ini berlaku seiringan dengan kelulusan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian 2024 yang tergesa-gesa, satu langkah yang dikatakan untuk memerangi buli siber, tetapi yang juga memberikan kuasa baharu yang membimbangkan kepada kerajaan ke atas wacana dalam talian—dengan ketelusan dan pengawasan yang amat sedikit.
“Seni bukan ancaman. Advokasi bukan jenayah. Kritikan bukan hasutan. Rakyat di Malaysia mesti boleh meluahkan perasaan mereka secara bebas, sama ada melalui ucapan, penulisan, filem, lukisan atau siaran dalam talian tanpa rasa takut akan penapisan, gangguan atau penahanan.”
Vilasini Vijandran, Pengarah Eksekutif Interim Amnesty International Malaysia
Perhimpunan Aman Bukan Jenayah
Hak untuk berhimpun secara aman—dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa—terus terjejas pada tahun 2024 kerana pihak berkuasa Malaysia menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) dan undang-undang punitif lain untuk menjenayahkan protes aman.
Penangkapan pelajar-pelajar Bajau Laut tanpa kerakyatan—termasuk kanak-kanak—yang secara aman memprotes untuk menambah baik akses air untuk pelajar di Sabah, adalah langkah yang memalukan bagi kerajaan Malaysia dan menggambarkan bagaimana kuasa kerajaan digunakan untuk menutup mulut mereka yang paling terdedah. “Pihak berkuasa Malaysia mesti sedar bahawa dengan melakukan ini, mereka bukan sahaja menyekat protes tetapi juga menghantar mesej menyedihkan kepada golongan muda bahawa suara mereka tidak dialu-alukan,” kata Vilasini.
Amnesty International Malaysia mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada bulan Februari 2025 bahawa PAA akan dipinda, bermula dengan penyingkiran Seksyen 11—yang memerlukan pihak yang ingin berhimpun mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis. Walaupun ini adalah langkah yang dialu-alukan, kerajaan masih belum menjelaskan sama ada pembaharuan yang lebih luas dan bermakna kepada PAA akan menyusul.
“Kami menggesa kerajaan untuk melibatkan masyarakat sivil secara bermakna dalam proses semakan untuk memastikan semua pindaan selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa. Hak untuk berhimpun secara aman mesti dilindungi sepenuhnya—bukan diberikan secara terpilih. Dalam pada itu, tiada sesiapa pun harus ditangkap, disiasat, didakwa atau dipenjarakan kerana melaksanakan hak perlembagaan mereka untuk membantah.”
Vilasini Vijandran
Tanggungjawab Kerajaan atas Kematian, Penahanan dan Hukuman
Layanan Malaysia terhadap pelarian, migran, dan orang di dalam tahanan, kekal sebagai salah satu kebimbangan hak asasi manusia yang paling mendesak pada tahun 2024, ditandai dengan penahanan tanpa had tempoh tertentu, penafian perlindungan undang-undang, dan penderaan sistemik di depot tahanan.
“Daripada penahanan sewenang-wenang hingga penderaan yang tidak terkawal, pendekatan kerajaan ketika ini bukan sahaja menafikan kemanusiaan individu yang mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih baik, malah mengekalkan sistem kekebalan daripada sebarang pertanggungjawaban.”
Vilasini Vijandran
Kematian dalam tahanan dan dakwaan penyeksaan juga berterusan, dengan sekurang-kurangnya 24 kematian dalam tahanan polis dilaporkan dari tahun 2022 hingga pertengahan tahun 2024. Walaupun kerajaan memberi jaminan penyiasatan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis, akauntabiliti masih sukar diperoleh.
Bagi isu hukuman mati, walaupun kemajuan telah dicapai—dengan pengurangan ketara dalam bilangan orang yang dijatuhkan hukuman mati—kerajaan masih belum mengambil langkah rasmi seterusnya ke arah memansuhkan hukuman mati secara keseluruhannya. Mahkamah terus menjatuhkan hukuman mati ke atas individu, termasuk untuk kesalahan berkaitan dadah yang melanggar undang-undang antarabangsa dan menjejaskan tuntutan kerajaan tentang kemajuan yang dicapai.
“Pembaharuan sebenar mesti menangani ketidakadilan sistemik. Sehingga hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya, hak untuk hidup masih terancam.”
Vilasini Vijandran
Memulihkan Agenda Hak Asasi Manusia
Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan meletakkan kembali hak asasi manusia sebagai intipati agendanya. Ini bermakna menamatkan penindasan terhadap kebebasan bersuara dan perhimpunan aman, menghapuskan hukuman mati secara sepenuhnya, menamatkan amalan penahanan imigresen tanpa had tempoh tertentu dan pengusiran yang menyalahi undang-undang, dan memastikan penyiasatan bebas dan akauntabiliti bagi semua kematian dalam tahanan.
Pada waktu ini, ketika standard global semakin diserang, Malaysia tidak boleh mengikut jalan penindasan—ia mesti memimpin dengan teladan dan menegakkan maruah, keselamatan dan hak semua orang dalam sempadannya.
Untuk maklumat lanjut atau untuk mengatur janji temu sila hubungi Pegawai Komunikasi Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan, di [email protected]