Siaran Akhbar
21 April 2026
Sistem hak asasi manusia global kini berada di bawah tekanan yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan keadaan di Malaysia turut menunjukkan kemunduran, kata Amnesty International Malaysia hari ini sempena pelancaran laporan tahunan State of the World’s Human Rights. Pada tahun 2025, dunia menyaksikan satu trend yang luas dan berbahaya: kemerosotan secara beransur-ansur terhadap peraturan, institusi dan norma yang dibentuk untuk melindungi maruah manusia.
Laporan State of the World’s Human Rights oleh Amnesty International mendokumentasikan trajektori yang membimbangkan ini di 144 negara. Ia melukiskan gambaran jelas tentang dunia di mana perlindungan hak asasi manusia bukan sahaja diabaikan malah dileraikan secara aktif.
Ketika dunia berada dalam ambang era baharu yang berbahaya dipacu oleh negara-negara, syarikat-syarikat dan gerakan anti-hak asasi yang berkuasa, Malaysia berdepan pilihan penting: membetulkan haluan dan memenuhi komitmen hak asasi manusia atau terus menuju ke arah penindasan terkawal dan ruang sivik yang semakin mengecil.
Malaysia: Antara Reformasi dan Penindasan
Malaysia tidak terkecuali daripada trend global. Walaupun terdapat beberapa perkembangan pada tahun 2025 yang menunjukkan kemajuan, ia tidak konsisten dan dibayangi oleh kemunduran dalam isuutama khususnya kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
“Malaysia berada di persimpangan yang kritikal. Ia boleh menunjukkan kepimpinan dengan menegakkan hak asasi manusia di dalam negara atau berisiko membabitkan dirinya dengan trend penindasan global yang selama ini ditentangnya,” kata jurucakap Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan Balakrishnan.
Kerajaan Malaysia bukan sahaja gagal memansuhkan undang-undang drakonian yang menyekat kebebasan bersuara malah terus mempersenjatainya serta meluaskan skopnya ke ruang digital. Penolakan cabaran pembikin filem Mentega Terbang terhadap Seksyen 298 Kanun Keseksaan mengekalkan kuasa yang kabur dan terlalu luas untuk menjenayahkan ucapan yang dianggap menyinggung sensitiviti agama sekali gus menjejaskan kebebasan ekspresi seni dan kritikal serta tidak memenuhi piawaian hak asasi manusia.
Walaupun Keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepada aktivis Heidy Quah dengan membatalkan istilah “menyinggung” dan “menjengkelkan” dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), keputusan itu tidak bertahan lama. Pada Februari 2026, Mahkamah Persekutuan mengembalikan istilah tersebut, sekali gus mengesahkan semula keupayaan kerajaan untuk menjenayahkan pelbagai bentuk ekspresi dalam talian.
“Daripada pembikin filem yang diheret ke mahkamah hinggalah kepada istilah kabur seperti ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ yang kembali menjadi kesalahan, kita melihat undang-undang menindas diperkukuh, bukan direformasi. Keputusan ini memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk secara sewenang-wenangnya menjenayahkan hampir apa sahaja bentuk ekspresi,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Pada masa yang sama, penangkapan di bawah Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan terus berlaku, mewujudkan suasana takut dan penapisan kendiri. Individu LGBTI juga semakin menjadi sasaran melalui penapisan, serbuan dan gangguan, sekali gus mengecilkan lagi ruang sivik di Malaysia.
Menjenayahkan Protes di Dalam Negara Sambil Memperkasa Hak Asasi di Luar Negara
Hak untuk berhimpun secara aman terus terjejas melalui penggunaan Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan undang-undang lain untuk menyiasat serta mengugut penunjuk perasaan walaupun adanya perlindungan perlembagaan dan komitmen kerajaan untuk melakukan reformasi.
Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) PAA sebagai tidak berperlembagaan memberi harapan, ia masih belum diterjemahkan kepada reformasi yang bermakna. Lebih setahun berlalu, tiada perubahan hakiki dilakukan. Sebaliknya, pihak berkuasa terus menggunakan peruntukan menindas dalam PAA bersama Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil untuk menyiasat serta mengugut penunjuk perasaan.
“Pengumuman reformasi sahaja tidak mencukupi, kerana orang ramai masih ditangkap, disiasat dan diugut kerana bersuara. Kerajaan mesti segera meminda Akta Perhimpunan Aman seperti yang dijanjikan, agar selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Percanggahan ini paling jelas dalam respons kerajaan terhadap protes berkaitan isu antarabangsa. Walaupun Malaysia secara terbuka mengecam pelanggaran hak asasi di peringkat global, individu yang menyuarakan isu yang sama di dalam negara berdepan penangkapan dan siasatan.
Pada Oktober, penunjuk perasaan aman membantah tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla, yang turut dikritik oleh kerajaan. Namun, pihak berkuasa bertindak dengan penangkapan dan kekerasan dengan sekurang-kurangnya seorang individu yang kemudiannya didakwa.
“Terdapat jurang ketara antara apa yang Malaysia katakan di pentas global dan apa yang dilakukannya di dalam negara. Kredibiliti dalam hak asasi manusia ditentukan melalui tindakan, bukannya kata-kata dan mesti dicerminkan dalam undang-undang, dasar serta amalan,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Tindakan keras kerajaan juga semakin memberi kesan kepada golongan muda di Malaysia. Di Sabah, sekurang-kurangnya tujuh aktivis pelajar telah disiasat dan didakwa berhubung protes antirasuah pada bulan Mei. Awal bulan ini, tiga aktivis antirasuah turut ditahan dalam satu lagi tindak balas yang tidak seimbang terhadap bantahan aman.
Pelarian, Kepolisan dan Hak yang Terhakis
Dalam konteks konflik global dan pemindahan paksa yang semakin meningkat, pendekatan Malaysia terhadap pelarian dan migran termasuk pengusiran paksa, penahanan sewenang-wenangnya dan kurang ketelusan dalam proses imigresen menimbulkan kebimbangan serius terhadap hak asasi manusia.
Pada tahun 2025, pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar telah menghadapi tahanan atau bot mereka dihalau keluar dari perairan Malaysia. Serbuan imigresen terhadap pelarian dan migran tanpa dokumen meningkat sepanjang tahun. Sehingga Ogos, lebih 20,000 individu, termasuk lebih 2,000 kanak-kanak ditahan di dalam depot-depot imigresen di Malaysia.
“Pada masa ini apabila orang ramai melarikan diri daripada konflik dan krisis, Malaysia mesti menunaikan tanggungjawabnya untuk memberikan perlindungan dan bukan menolak mereka kembali ke bahaya atau menahan mereka tanpa proses sewajarnya,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
Kebimbangan turut meningkat berikutan laporan penyalahgunaan rentas sempadan termasuk kes aktivis Thuzar Maung yang dipercayai diculik bersama keluarganya di Malaysia dan dihantar pulang ke Myanmar.
Walaupun kerajaan mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan proses pendaftaran pelarian kebangsaan pada tahun 2026, masih terdapat kekurangan dalam ketelusan mengenai bagaimana ia akan melindungi pencari suaka atau menangani amalan penahanan sedia ada.
Jurang akauntabiliti ini turut melangkaui penguatkuasaan imigresen. Keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati kerajaan dan polis bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat merupakan perkembangan penting namun akauntabiliti masih belum lengkap.
Insiden lain termasuk tembakan maut oleh polis dan kematian dalam tahanan terus menimbulkan kebimbangan serius mengenai pengawasan yang tidak mencukupi dan budaya kekebalan.
Walaupun terdapat kemajuan seperti pengurangan jumlah banduan hukuman mati, momentum telah goyah. Dengan mahkamah masih menjatuhkan hukuman mati termasuk bagi kes berkaitan dadah, kajian yang diumumkan oleh kerajaan tahun lalu mesti diterjemahkan kepada laluan yang jelas ke arah penghapusan sepenuhnya.
Seruan untuk Mengembalikan Agenda Hak Asasi Manusia
Ketika piawaian hak asasi manusia global terus diserang, Malaysia mempunyai peluang untuk memimpin bukan melalui retorik tetapi melalui tindakan.
“Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan untuk melangkaui retorik dan memastikan hak asasi manusia dicerminkan secara bermakna dalam dasar dan tindakannya. Ini memerlukan penamatan tindakan keras terhadap kebebasan bersuara dan berhimpun, melaksanakan reformasi undang-undang yang bermakna, menghapuskan hukuman mati sepenuhnya serta menangani penyalahgunaan sistemik dalam tahanan dan penguatkuasaan undang-undang,” kata Divya Shesshsan Balakrishnan.
“Hak asasi manusia tidak boleh dipilih-pilih dan tidak boleh ditangguhkan. Kerajaan mesti membalikkan kemunduran ini dan menunjukkan komitmen yang jelas serta konsisten terhadap reformasi.”
Untuk maklumat lanjut atau untuk menjadualkan temu bual dengan jurucakap, sila hubungi Pegawai Komunikasi Amnesty International Malaysia, Divya Shesshsan Balakrishnan di [email protected]


